Samaiden, Aneka Jaringan tamatkan kerjasama penerokaan pasaran RE di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Samaiden, Aneka Jaringan tamatkan kerjasama penerokaan pasaran RE di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - Samaiden Group Berhad dan Aneka Jaringan Holdings Berhad bersetuju secara bersama untuk menamatkan perjanjian usaha sama (JVA) ]penerokaan pasaran perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Indonesia.

 

Samaiden dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, bahawa penamatan bersama adalah disebabkan perbezaan objektif perniagaan dan pandangan kedua-dua pihak.

 

Sehingga 10 Mei 2023, unit Samaiden, PT Sam Anergi, belum memulakan operasi atau memperoleh sebarang perniagaan RE di Indonesia.

 

Samaiden berkata, penamatan bersama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ketara ke atas pendapatan syarikat, aset bersih sesaham dan penggearan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY2023).

 

Pada Ogos 2022, Samaiden menandatangani JVA dengan Aneka Jaringan untuk bersaing dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji kuasa di Indonesia.

 

Kerjasama  itu adalah untuk menyediakan akses Samaiden kepada pasaran Indonesia dan membenarkan Aneka Jaringan, yang sudah pun mempunyai kehadiran di Indonesia melalui anak syarikatnya PT Aneka Jaringan Indonesia, untuk menambah rantaian nilainya dalam segmen yang berkembang pesat. - DagangNews.com