KUALA LUMPUR 8 Mac - Samaiden Group Berhad telah memeterai perjanjian pembelian kuasa (PPA) strategik dengan Maxell Tohshin (Malaysia) Sdn Bhd (Maxell Tohshin) bagi tempoh 20 tahun.
Syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik (PV) dan loji janakuasa itu akan melaksanakan reka bentuk dan pemasangan sistem solar PV termaju, dengan kapasiti 1,028.28 kilowatt puncak (kWp) di premis Maxell Tohshin.
Inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara daripada operasi pembuatan, mengunjurkan anggaran pengelakan karbon dioksida (CO2) sebanyak 974.66 tan setahun, yang sejajar dengan visi kedua-dua syarikat untuk masa depan perindustrian yang lebih hijau, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Maxell Tohshin adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan acuan ultra-ketepatan dan teknologi acuan kanta termasuk pemasangan bahagian kamera dan automotif.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Chow Pui Hee berkata PPA terbabit menandakan komitmen penting terhadap penggunaan tenaga mampan dalam pembuatan dan menekankan dedikasi bersama terhadap tanggungjawab alam sekitar.
“Dengan menyepadukan teknologi solar termaju ke dalam operasi mereka, Maxell Tohshin bukan sahaja menunjukkan penjagaan alam sekitar tetapi juga membuka jalan bagi rumusan tenaga yang inovatif dalam sektor pembuatan.
“Kerjasama kami adalah mercu tanda kemajuan, mempamerkan potensi tenaga boleh diperbaharui untuk merevolusikan industri tradisional sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan integriti alam sekitar,” ujar beliau.
Pengarah Urusan Maxell Tohshin, Nobuki Yahiro menambah bahawa kerjasana itu penting kepada syarikat itu untuk menerap kelestarian dalam operasinya.
“Kami yakin bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga menetapkan penanda aras untuk industri dalam penjagaan alam sekitar,” katanya. - DagangNews.com