Sapura Energy catat rugi RM97.07 juta | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy catat rugi RM97.07 juta

KUALA LUMPUR 30 Jun - Sapura Energy Bhd merekodkan kerugian bersih berjumlah RM97.07 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2021, berbanding keuntungan bersih RM14.21 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini menyifatkan prestasi itu terutaman disebabkan oleh kesan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit yang tidak memberangsangkan selain penyusutan keuntungan syarikat sekutu dan usaha sama.

 

Namun, hasil meningkat 8.4 peratus kepada RM1.47 bilion dalam tempoh di bawah kajian itu, disumbangkan oleh peningkatan hasil segmen kejuruteraan dan pembinaan selain perniagaan penggerudian.

 

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Mohd Anuar Taib berkata, Sapura Energy dapat meraih kira-kira 95 peratus daripada sasaran hasil tahun kewangan 2022 dan menjangkakan kumpulan itu mampu mengatasi jumlah hasil tahun kewangan 2021.

 

"Kami berada di kedudukan baik untuk memanfaatkan pemulihan industri tenaga berikutan jangkaan peningkatan semula permintaan terhadap minyak dan gas.

 

"Pada masa sama, kami akan terus memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui untuk kekal mampan pada masa akan datang," katanya, lapor Bernama.

 

Nilai kontrak diperoleh kumpulan itu mencecah RM11.8 bilion pada akhir suku pertama tahun kewangan 2022.

 

Jumlah bidaan serta prospeknya setakat ini bernilai RM147 bilion merangkumi tender-tender bernilai RM51 bilion yang dikemukakan atau dalam proses berkaitan, termasuk enam bidaan aktif bagi sektor tenaga boleh diperbaharui di serata Asia Pasifik. - DagangNews.com