KUALA LUMPUR 9 Sept - Sapura Energy Bhd. melantik Lim San Peen sebagai pelikuidasi sementara untuk Sapura Project Services Sdn. Bhd. (SPSSB).
Menurutnya, pelantikan pelikuidasi sementara ini tidak memberi kesan kewangan dan operasi material serta-merta ke atas Sapura Energy, dan tidak akan menjejaskan kemajuan rancangan penstrukturan semula kumpulan.
"San Peen dilantik sebagai pelikuidasi sementara di bawah Perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, berikutan petisyen penggulungan terhadap SPSSB oleh Danamin (M) Sdn. Bhd.," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
SPSSB ialah anak syarikat Sapura Technology Solutions Sdn. Bhd., yang juga anak syarikat milik penuh Sapura Energy.
Secara dasarnya, SPSSB bukanlah anak syarikat utama seperti yang ditakrifkan di bawah Bab 1 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
SPSSB merupakan perniagaan bukan teras untuk Sapura Energy, khusus dalam perkhidmatan telekomunikasi yang merangkumi penyelesaian telekomunikasi turnkey, rangkaian dan keselamatan untuk projek reka bentuk kejuruteraan hadapan (FEED), kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dalam pasaran minyak & gas dan utiliti.
Dalam penutupan petang ini, saham Sapura Energy menokok 0.5 sen atau 12.5% kepada 4.5 sen dengan 3.4 juta saham diniagakan. - DagangNews.com