Sarawak bakal laksana lebih banyak projek infrastruktur, peluang cerah menanti syarikat pembinaan | DagangNews Skip to main content

Sarawak bakal laksana lebih banyak projek infrastruktur, peluang cerah menanti syarikat pembinaan

Pada Jun lalu, kerajaan negeri Sarawak memaklumkan kira-kira 7,530 km jalan baharu perlu dibina. - Gambar : Jeremy Bezanger/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Prospek pembinaan kekal cerah di Sarawak memandangkan negeri itu kekal komited untuk menggerakkan semula projek yang ditangguhkan pada 2018 berikutan perubahan Kerajaan Persekutuan, demikian menurut MIDF Research.

 

Firma itu berkata, tender untuk Jalan Trunk Kedua yang dibiayai kerajaan menjangkau 225 kilometer (km) dijangka dikeluarkan tahun ini dengan tujuh pakej kerja manakala tujuh pakej lagi pada tahun hadapan dengan keseluruhan kos projek dijangka mencecah RM5.84 bilion.

 

Turut wajar diperhatikan termasuklah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 dengan komitmen kerajaan negeri berjumlah RM63 bilion menerusi pelbagai usaha, antaranya membangunkan infrastruktur asas seperti jalan dan jambatan, bekalan air dan elektrik serta rangkaian telekomunikasi.

 

"Pada Jun lalu, kerajaan negeri juga memaklumkan kira-kira 7,530 km jalan baharu perlu dibina bagi menghubungkan kawasan luar bandar manakala 3,478 km jalan akan dinaiktaraf. 

 

"Ini akan menyaksikan aliran kerja yang lebih kukuh dalam tempoh jangka masa panjang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, kerajaan negeri mengunjurkan pelaburan sebanyak RM100 bilion akan disuntik dalam ekonomi menjelang 2030 dalam usaha untuk memartabatkan negeri kepada status ekonomi maju.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira RM64 bilion adalah menerusi bajet tahunan negeri manakala syarikat pembangunan tenaga negeri, Sarawak Energy dijangka menyumbang kira-kira RM40 bilion sehingga 2026.

 

Antara pelaburan lain yang akan menyumbang 'beberapa bilion ringgit' adalah menerusi pelaburan Sumitomo dan Samsung bagi loji hidrogen pertama Sarawak, yang dijangka memulakan pembinaan tahun ini.

 

Sehubungan itu, MIDF Research berpendapat lebih banyak kerja-kerja infrastruktur akan dilancarkan  termasuklah tumpuan kerajaan negeri terhadap projek yang tertangguh atau terbiar. 

 

Katanya, ketika ini terdapat 84 projek 'sakit' yang dikenalpasti di Sarawak dan antara tindakan yang diambil bagi menangani isu berkenaan ialah dengan melantik kontraktor penyelamat. 

 

"Ini kemungkinan akan menyaksikan lebih banyak projek akan dibentangkan semula, sekali gus membuka peluang yang baik untuk pemain industri pembinaan menambah nilai kontrak," jelasnya.

 

Firma itu juga menyambut baik usaha kerajaan negeri yang kini sedang memuktamadkan bantuan bagi membantu pemain industri dengan tumpuan diberikan kepada harga bahan mentah. 

 

"Walaupun ini bukan masalah besar bagi kebanyakan syarikat di bawah liputan kami, tetapi ini adalah langkah yang amat dialu-alukan untuk industri dalam mengurangkan risiko penurunan," katanya.

 

Berdasarkan kepada perkembangan yang menggalakkan di Sarawak, MIDF Research mengulangi pandangan 'positif' terhadap sektor pembinaan dengan saham pilihan utamanya ialah Cahya Mata Sarawak Bhd. dan KKB Engineering Bhd. - DagangNews.com