KUCHING 8 Julai - Kerja-kerja pembersihan tanah yang tidak betul dan tidak terancang berhampiran menara pencawang elektrik boleh menjejaskan kestabilan cerun di sekeliling struktur menara yang boleh menyebabkan keseluruhan menara runtuh dan membawa kepada gangguan bekalan elektrik utama di Sarawak.
Memberi amaran ini, Sarawak Energy menerusi sayap utilitinya, Sesco Berhad menggesa individu dan entiti, terutamanya pemilik ladang dan kontraktor, supaya berhubung dengan pihaknya sebelum meneruskan apa-apa kerja berhampiran menara pencawang elektrik bagi memastikan keselamatan pekerja mereka di tapak dan keselamatan operasi Grid Penghantaran Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Sesco, Lau Kim Swee berkata, pihaknya telah menyaksikan peningkatan jumlah kejadian seumpamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membaiki, membetulkan dan melindungi cerun yang terjejas.
Lau berterima kasih kepada mereka yang telah menghubungi dan bekerjasama dengan Sarawak Energy dan Sesco sebelum mereka mula membersihkan tanah mereka kerana ia membantu mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Kami menggalakkan semua orang melakukan perkara yang sama kerana pasukan kami sedia membantu.
"Akhirnya nanti, kami ingin menyediakan bekalan elektrik yang selamat, berpatutan dan boleh dipercayai untuk semua rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Di bawah Seksyen 33(9) Ordinan Elektrik, mereka yang bersalah dengan sengaja atau cuai menyebabkan kejatuhan atau kerosakan mana-mana talian bekalan elektrik boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000, atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pemilik perniagaan atau tanah dan kontraktor dialu-alukan untuk menghubungi Sarawak Energy Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111 atau e-mel [email protected] sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan tanah.
Individu yang melaporkan aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik Sarawak Energy boleh juga berbuat demikian melalui saluran ini. Sarawak Energy memberi jaminan bahawa semua maklumat diterima akan dirahsiakan. — DagangNews.com