Sarawak peruntuk RM50 juta perluas capaian internet di kawasan luar bandar | DagangNews Skip to main content

Sarawak peruntuk RM50 juta perluas capaian internet di kawasan luar bandar

Sarawak

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi memperoleh capaian jalur lebar Very Small Aperture Terminal (VSAT) di kawasan luar bandar negeri itu.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, VSAT mempunyai capaian geografi tanpa had selain proses penghantaran dan penerimaan data yang cekap.

"VSAT mampu menyediakan perkhidmatan internet pad kelajuan 30 Mbps (Megabit sesaat), termasuk untuk kegunaan Wi-Fi.

"Capaian internet itu turut membantu para petani yang ingin memasarkan produk mereka secara dalam talian," jelasnya pada majlis pecah tanah pembinaan bangunan Persatuan Peladang Negeri (SFA) seperti dipetik Malay Mail hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Ahli Parlimen Samarahan, Rubiah Wang.

Abang Johari Abang Openg
Abang Johari Abang Openg

 

Tambah beliau lagi, proses pembinaan capaian VAST yang sudah mula dijalankan itu menghadapi sedikit masalah dalam aspek pembinaan.

Ujarnya, gangguan tersebut adalah berkaitan dengan penyediaan piring gelombang bersama syarikat telekomunikasi.

"Kerajaan negeri telah membina menara telekomunikasi di kawasan luar bandar.

"Tetapi mereka tidak mempunyai piring untuk tujuan penghantaran maklumat melalui gelombang radio.

"Syarikat telekomunikasi seperti Celcom atau Digi tidak mahu memasang piring kerana mereka berpendapat tiada pasaran di kawasan luar bandar. - DagangNews.com