Sarawak tubuh jawatankuasa khas selia kerjasama O&G dan tenaga hijau dengan Mubadala, Masdar | DagangNews Skip to main content

Sarawak tubuh jawatankuasa khas selia kerjasama O&G dan tenaga hijau dengan Mubadala, Masdar

[Foto FB Unit Komunikasi Awam Sarawak]

SELANGAU 18 Dis - Kerajaan Negeri Sarawak telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelia penglibatannya dalam industri minyak dan gas (O&G) serta tenaga hijau susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan dengan dua syarikat iaitu Mubadala dan Masdar.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg jawatankuasa terbabit akan bekerjasama dengan syarikat O&G milik negeri itu Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan syarikat pembekal kuasa negeri Sarawak Energy Bhd.

 

“Saya baru pulang dari Dubai untuk menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28). Kami telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat minyak Mubadala. Mereka mempunyai operasi di luar pesisir Sarawak bersama-sama dengan Petronas.

 

“Seperti yang anda sedia maklum, nombor dua, kami juga telah menandatangani MoU dengan Masdar yang dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi. Mereka adalah peneraju dunia dalam teknologi hijau. Pada masa ini mereka mempunyai pelaburan mereka di Indonesia untuk solar terapung.

 

“Kami mendapat sumber tenaga hijau. Jadi kami akan bekerjasama dengan Masdar mengenai tenaga boleh diperbaharui. Maknanya, kita ada hidro, solar dan juga alga untuk bahan api penerbangan mampan (SAF),” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Daerah Selangau hari ini, lapor The Borneo Post.

 

Di samping itu, Abang Johari berkata ketika lawatannya ke United Kingdom, syarikat British Petroleum (BP) telah menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dengan Petros bagi membangunkan projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak.

 

Beliau menambah bahawa Sarawak telah diiktiraf bukan sahaja kerana karbon sifar bersih, malah karbon negatif.

 

“Ini adalah perkataan baharu, karbon sifar bersih. Kita adalah karbon negatif, bermakna kurang karbon, lebih banyak oksigen. Jadi kita mempunyai kelebihan itu dalam platform dunia ke arah tenaga hijau,” tambahnya. - DagangNews.com