Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mei - Mah Sing Healthcare Sdn Bhd, cabang kesihatan syarikat pemaju, Mah Sing Group Berhad dijangka mula mengeksport produk sarung tangannya pada Mei atau Jun 2021.
Ini selepas Mah Sing Healthcare telah memperoleh lesen perniagaan dan permit berkaitan bagi pengeluaran sarung tangannya.
Dalam satu kenyataan, Mah Sing memberitahu, kumpulan telah memperoleh jaminan bahan mentah yang mencukupi untuk memenuhi permintaan sarung tangan terutamanya dari pasaran Amerika Syarikat (AS), Kanada, Timur Tengah, Eropah, United Kingdom, Jepun, China, Korea, Singapura, Rusia dan Amerika Latin.
“Dalam pada itu, Mah Sing Healthcare juga telah menerima lesen eksport dari Lembaga Getah Malaysia di mana dapat memudahkan perniagaan eksport buat operasi pembuatan sarung tangan kumpulan.
“Mah Sing Healthcare juga telah memperoleh dua Lesen Penubuhan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) bagi sarung tangan pemeriksaan pesakit polimer nitril dan lateks daripada Pentadbiran Makanan FDA AS, yang mana semua pengeluar sarung tangan diminta mendaftar untuk menjual sarung tangan di negara berkenaan,” jelas Mah Sing Healthcare.
Tambah kumpulan itu, ini meletakkan Mah Sing antara peserta sarung tangan baharu pertama di Malaysia yang memulakan pengeluaran produk berkenaan untuk memenuhi permintaan pasaran dengan segera.
Katanya lagi, lonjakan dalam penggunaan sarung tangan ekoran norma baharu, kesedaran yang kian meningkat selain pematuhan kebersihan akan terus menyokong permintaan produk berkenaan selepas pandemik COVID-19.
“Pelaksanaan perniagaan sarung tangan mengikut jadual memandangkan terdapat enam barisan pengeluaran yang akan beroperasi tepat pada masanya pada suku kedua 2021 (2Q21), diikuti enam lagi barisan menjelang 3Q21.
“Kapasiti pengeluaran maksimum bagi 12 barisan itu mencecah hingga 3.68 bilion unit setiap tahun,” jelas kumpulan itu. - DagangNews.com