Sasar 1,000 kedai Tealive dalam 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Sasar 1,000 kedai Tealive dalam 3 tahun

Kedai Tealive ke-600 di Gelang Patah, Johor dibuka minggu lalu.

 


KUALA LUMPUR 17 Mei - Jenama terkemuka teh gaya hidup di rantau Asia Tenggara, Tealive, kini menyasarkan pembukaan kedai yang ke-1,000 dalam tempoh 3 tahun. 

 

Keyakinan ini didorong oleh tahap kesetiaan jenama yang kukuh dan fokus berterusan terhadap kemudahan pelanggan dan strategi digital.

 

Minggu lalu, pemilik jenama Loob Holding Sdn. Bhd. membuka kedai Tealive ke-600 di Gelang Patah, Johor. 

 

Bryan Loo
Setelah memiliki 600 kedai Tealive, kini Bryan Loo menyasarkan untuk membuka 1,000 kedai dalam tempoh 3 tahun.

 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo berkata, pihaknya merancang untuk membuka antara 130 hingga 150 kedai setiap tahun, terutama di Johor, pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

 

Katanya, apabila wabak melanda, syarikat dengan segera mengubah strategi dan melancarkan platform e-dagang dalam talian bubble tea dan menjadi syarikat pertama yang memasarkan kit DIY bubble tea. 

 

"Seterusnya kami memenangi pingat emas bagi Anugerah e-Dagang Asia dan memenangi pingat perak bagi Anugerah Kecemerlangan Pemasaran tetapi ini hanya merupakan bonus bagi kami.  

 

"Matlamat utama kami adalah untuk memudahkan pelanggan Tealive yang terkurung di rumah semasa berada tempoh perintah kawalan yang pertama di mana mereka mempunyai masa lapang yang banyak namun tidak dapat menikmati minuman kegemaran mereka," katanya dalam kenyataan hari ini sempena majlis pelancaran maya Sambutan Pembukaan Kedai ke-600.

 

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk terus menumpukan kepada usaha mendigitalkan perniagaan ini dan mengutamakan aspek kemudahan pelanggan merangkumi penawaran pelbagai saluran pesanan dan pembayaran tanpa sentuhan - imbas untuk pesanan, pesanan lebih awal dan model pandu-masuk di seluruh rangkaian kedai. 

 

Tealive kini memiliki sejumlah 10 kedai pandu-lalu dan dan lebih 100 kedai pandu-masuk di mana pelanggan boleh membuat pesanan lebih awal dan memarkir di ruang khas semasa menunggu minuman dihidangkan kepada mereka di dalam keselesaan kenderaan mereka sendiri.

 

"Baru-baru ini kami telah menjalin usaha sama dengan Affin Bank melalui pembukaan kedai bubble-tea yang pertama dalam cawangan bank dan kami berharap untuk membuka lebih banyak lagi model unggul seumpamanya,” ujar beliau.

 

Loob juga telah menjalin kerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd untuk membuka kedai Tealive di dalam rangkaian Kedai Mesra Petronas sejak 2019. 

 

Pada Januari lalu, Tealive telah menjalin usaha sama dengan Touch-n-Go, pemain e-wallet terbesar di Malaysia, untuk membekalkan platfrom 'app-in-app' bersepadu melalui e-wallet. 

 

"Ia dengan pantas melonjakkan kami selaku jenama minuman dengan transaksi paling tinggi dilakukan melalui Touch-n-Go e-wallet dengan sejumlah lebih 200,00 transaksi telah disempurnakan," tambahnya.

 

Bagi meraikan kejayaan pembukaan kedai ke-600 ini, Tealive menawarkan sejumlah 60 minuman percuma setiap hari selama 6 hari bermula 20 Mei menerusi cawangannya di Taman Nusantara di Gelang Patah, Johor.

 

Pelanggan Tealive di seluruh negara pula berpeluang memenangi beg tote Edisi Terhad Oxwhite x Tealive dan baucar tunai apabila mereka membeli minuman bermula dari 20 hingga 25 Mei. - DagangNews.com