MELAKA 21 Mei - Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyifatkan tempoh lima tahun yang disasarkan Tourism Malaysia untuk pemulihan sektor pelancongan negara adalah terlalu lama.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh pemulihan yang telalu panjang akan menyebabkan berlaku lebih banyak isu dan masalah.
"Baru-baru ini saya mempengerusikan satu mesyuarat MPN dan Tourism Malaysia membentangkan laporan untuk memulihkan sektor pelancongan di negara kita.
"Tapi satu perkara yang saya tegur dalam mesyuarat itu adalah apabila disebutkan pelancongan negara akan mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk pulih...iaitu sama dengan tempoh rancangan Malaysia lima tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan BERSATU Bahagian Tangga Batu, malam tadi, lapor Bernama.
Muhyiddin berkata, pihak MPN telah meminta kepemimpinan sektor pelancongan meneliti semula dan tempoh tersebut seharusnya dipendekkan.
"Tiga atau empat tahun sahaja kerana di situlah (sektor pelancongan) banyak pengusaha-pengusaha kita sama ada bumiputera dan bukan bumiputera yang terkesan dalam tempoh dua tahun lepas, kerana sektor ini sudah berada dalam keadaan yang cukup tertekan sekali," katanya.
Terdahulu dalam mesyuarat MPN pada Selasa lalu, Muhyiddin mengesyorkan kerajaan untuk merangka inisiatif serta bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.
Ia susulan ketibaan pelancong ke Malaysia berkurang sebanyak 99.5% pada tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelum pandemik. - DagangNews.com