Sasaran FBM KLCI akhir 2021 dikekalkan pada 1,700 mata - MIDF | DagangNews Skip to main content

Sasaran FBM KLCI akhir 2021 dikekalkan pada 1,700 mata - MIDF

KLCI

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akhir tahun ini dikekalkan pada 1,700 mata.

 

MIDF Research berkata, pengekalan itu dibuat setelah menilai kepada keputusan keseluruhan yang agak bercampur-campur.

 

.

 

"Semakan dalam pendapatan agregat FBM KLCI di bawah liputan kami menunjukkan hampir keseluruhan disumbangkan oleh sektor penjagaan kesihatan, sementara sektor perladangan dilihat turut menjadi pemacu tambahan.

 

"Bagaimanapun, empat sektor lain iaitu P&S Pengguna, Kewangan, Telco & Media dan Utiliti menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang lebih rendah seperti dijangka. Manakala tiga sektor selebihnya iaitu Tenaga, P&S Industri dan Pengangkutan & Logistik tidak berubah.

 

"Dengan keputusan yang agak bercampur-campur ini, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir 2021 pada 1,700 mata," jelas MIDF Research. 

 

Dalam pada itu, MIDF Research memberitahu, pendapatan agregat FBM KLCI 30 meningkat kepada RM15.25 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

Ia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 14.5% berbanding suku lalu dan 21.4% berbanding tahun sebelumnya.

 

MIDF memberitahu, pendapatan agregat itu adalah yang tertinggi sejak suku kedua tahun kewangan 2017.

 

"Ia didorong oleh prestasi sektor kesihatan yang luar biasa iaitu kaunter sarung tangan yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan kolektif sebanyak 822.3% tahun ke tahun," ujar MIDF Researh lagi.

 

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2020, lapan syarikat berjaya menampilkan prestasi terbaik dalam FBM KLCI, sementara 6 syarikat menunjukkan prestasi yang sebaliknya.

 

.

 

Sebanyak tiga kaunter sarung tangan iaitu Top Glove, Hartalega dan Supermax menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama syarikat KL Kepong, MISC, Axiata, HLFG dan IHH Healthcare.

 

Bagaimanapun, Petronas Dagangan, Nestle, CIMB, RHB Bank, Maxia dan Tenaga Nasional menunjukkan prestasi rendah dalam FBM KLCI bagi suku keempat tahun kewangan 2021. - DagangNews.com