Sasaran jualan FY21 Mah Sing hanya RM1.4 bilion - KAF Equities | DagangNews Skip to main content

Sasaran jualan FY21 Mah Sing hanya RM1.4 bilion - KAF Equities

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Sasaran jualan syarikat pemaju hartanah, Mah Sing Group (Mah Sing)  diletakkan pada nilai yang lebih konservatif iaitu RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

KAF Equities berkata, jumlah itu diletakkan meskipun lebih rendah berbanding sasaran jualan yang diletakkan kumpulan berkenaan.

 

"Bagi tahun kewangan 2021, Mah Sing telah meningkatkan sasaran jualan hartanah kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tahun kewangan 2020.

 

"Setelah melihat kepada pelancaran hartanah yang agresif pada tahun kewangan 2021 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.4 bilion, sasaran jualan dijangka akan lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, sasaran jualan kami untuk kumpulan ini adalah lebih konservatif sebanyak RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2021," jelas KAF Equities.

 

Baca: Pendapatan FY21 Mah Sing dijangka lebih mengukuh

 

Sasaran jualan Mah Sing dijangka akan dipacu oleh pelancaran hartanah kumpulan dengan nilai GDV sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun kewangan 2021.

 

Kira-kira 60% pelancaran berkenaan akan menumpukan kepada tiga projek utama iaitu M-Arisa (Sentul), M-Vertica (Cheras), dan Meridin East.

 

Dalam aspek harga pula, lebih daripada separuh pelancaran yang dirancang kumpulan berharga RM500,000 ke bawah bagi satu unit.

 

Mengulas berkaitan pengeluaran produk sarung tangan, Mah Sing dilihat berada di landasan tepat untuk menyaksikan empat barisan pengeluaran pada suku kedua 2021 dan enam barisan pengeluaran lagi pada suku ketiga 2021.

 

Secara keseluruhan, KAF Equities berkata, ia merangkumi 12 barisan pengeluaran dengan kapasiti maksimum sarung tangan hingga 3.68 bilion dalam tempoh setahun.

 

Lebih menarik perhatian apabila Mah Sing berjaya memperoleh perakuan daripada pihak berkuasa Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA).

 

Selain itu, kumpulan berkenaan dalam usaha untuk mendapatkan perakuan lain seperti Piawaian Penandaan Eropah (CE) untuk melakukan eksport ke wilayah Eropah.

 

"Secara keseluruhan, kumpulan ini berada di landasan tepat untuk memulakan operasi sarung tangannya pada Mei 2021 dan menjangkakan penghantaran pertama pada Mei dan Jun 2021.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' saham Mah Sing berdasarkan kepada prestasi perumahan mampu miliknya dan potensi keuntungan daripada projek sarung tangan," ujar KAF Equities. - DagangNews.com