Sasaran pelaburan RM58 bilion mampu dicapai, kata MTE | DagangNews Skip to main content

Sasaran pelaburan RM58 bilion mampu dicapai, kata MTE

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Tidak mustahil untuk Malaysia mencapai sasaran pelaburan bernilai RM58 bilion pada tahun ini.

Itu keyakinan yang dilontarkan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berdasarkan keyakinan pelabur yang meneruskan operasi perniagaan mereka di Malaysia. 

“Walaupun ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya, namun kita mula menyaksikan tanda-tanda pemulihan dalam pelaburan domestik serta luar negara,” katanya.

Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia telah berjaya meraih sebanyak 60% daripada jumlah pelaburan yang disasarkan itu. 

 

Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali
Noor Azlan Ghazali

 

“Pelabur dalam sektor pembuatan dan pengeluaran yang kembali meneruskan aktiviti bisnes selepas COVID-19 menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara,” tambah Noor Azlan. 

Transformasi sektor pembuatan yang beralih kepada automasi dan pendigitalan meletakkannya kekal relevan dalam industri.

Malah, sektor berkenaan juga bakal mewujudkan 9,238 peluang pekerjaan menerusi peningkatan permohonan lesen sebanyak 94 setakat Julai 2020 berbanding pada April lalu (15).

Sektor utama lain yang turut beransur pulih melibatkan elektrik dan elektronik, pembuatan makanan, mesin dan peralatan, pengangkutan serta pembuatan logam.

“Sektor-sektor ini menunjukkan pemulihan dan MTE akan memantau serta memastikan ekonomi bagi sektor itu  akan terus berkembang baik,” katanya.

Sehubungan itu, perbincangan yang diadakan antara MTE dengan pelbagai sektor pengilangan serta pembuatan bertujuan meningkatkan pemahaman lebih mendalam terhadap cabaran yang dihadapi dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara dan mendepani pandemik COVID-19. - DagangNews.com