Saya kata boleh balik kampung, cuma patuhi SOP, kata Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Saya kata boleh balik kampung, cuma patuhi SOP, kata Ismail Sabri

ismail sabri

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 27 Julai -  Orang ramai dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan menyambut perayaan Aidiladha di kampung halaman masing-masing. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun pelbagai berita timbul di media sosial berkaitan sekatan tersebut termasuk kawasan yang terlibat, namun perkara itu adalah tidak benar.

"Di media sosial macam-macam diperkatakan mengenai sekatan ini. Sebenarnya tidak ada. Sebab itu saya kata balik kampung masih boleh, cuma patuhi SOP (prosedur operasi standard). 

"Walaupun kerajaan benarkan balik, kita mesti pastikan diri kita terjaga dengan kita mematuhi setiap SOP yang diperkenalkan seperti penjarakan sosial ketika melakukan penyembelihan, sanitasi tangan dan sebagainya untuk kesihatan dan keselamatan," jelasnya dalam sidang akhbar harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perdana Putra hari ini.

Semalam tular di media sosial berkaitan Datuk Seri Ismail Sabri yang akan mengumumkan keputusan rentas negeri bagi tujuan menyambut perayaan Aidiladha susulan jumlah jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Tambah Ismail, pihak kerajaan juga menyemak semula SOP Aidiladha dan ibadah korban selepas mengambil kira risiko penularan semula wabak berkenaan.

Antara SOP yang digariskan adalah seperti berikut;

  • Jumlah haiwan korban dihadkan kepada 10 ekor bagi masjid dan surau termasuk lokasi korban yang dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan
  • Ibadah korban digalakkan dilakukan di 28 buah rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan di 31 buah rumah penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan
  • Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban adalah 20 orang untuk setiap ekor haiwan
  • Waktu ibadah korban hanya boleh dijalankan selama empat hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidiladha
  • Jumlah kehadiran bagi tujuan jamuan adalah tidak melebihi 20 orang
  • Individu yang masih dalam proses home quarantine dilarang sama sekali pulang ke kampung atau menunaikan solat sunat Aidiladha

Jelas Ismail, kesemua SOP berkenaan adalah terpakai di Wilayah Persekutuan dan boleh diguna pakai oleh Majlis Agama Negeri-Negeri lain sebagai rujukan. - DagangNews.com