“Saya telah letak jawatan Pengerusi MDEC” - Rais Hussin | DagangNews Skip to main content

“Saya telah letak jawatan Pengerusi MDEC” - Rais Hussin

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - “Saya telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Hari ini, saya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah kali terakhir sebagai Pengerusi MDEC.”

 

Itu pengakuan daripada Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff yang mendedahkan bahawa hasrat tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Kewangan sekitar pertengahan Ogos 2021.

 

Dalam pada itu, hasrat sama turut disampaikan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sekitar September lalu, katanya.

 

“Perjalanan di MDEC sangat hebat dan bermakna, terutamanya apabila MDEC merupakan sebuah agensi penting dalam menerajui dan memacu ekonomi digital negara.

 

“Saya sangat lantang dalam pelbagai aspek untuk memacu perubahan (di MDEC), kerana masa sangat penting. Mendengar (pendapat daripada) pelbagai pihak berkepentingan terutamanya industri dan masyarakat demi melakar ekonomi digital kepada semua orang.

 

“Penting juga untuk Lembaga Pengarah dibenarkan mengambil keputusan dan diberikan kebebasan dalam membuat perkara yang betul kerana ini yang dikehendaki oleh tanggungjawab fudisiari. Lembaga Pengarah tidak boleh mengikut kemahuan sesiapa pun - sama ada kementerian pemegang saham atau penyeliaan,” katanya, hari ini.

 

Peletakan jawatan itu diumumkan selepas beberapa hari Rais menerima kritikan hebat daripada persatuan industri maritim apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang didakwa menggambarkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong sebagai 'menteri IQ kubis'.

 

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial itu, beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Ka Siong, tetapi merujuk pertengkaran mengenai dasar kabotaj terhadap kapal yang terlibat dalam pembaikan kabel bawah laut.

 

Rais

 

Dalam kenyataan peletakan jawatan hari ini, Rais turut menegaskan bahawa beliau tidak akan mengabaikan prinsipnya dalam menjalankan tugas.

 

“Lebih mudah untuk menurut sahaja arahan daripada kementerian pemegang saham dan/atau kementerian penyeliaan, tetapi ini bertentangan dengan moral.

 

“Sentiasa lakukan perkara yang betul dan berpegang pada prinsip anda yang betul, tidak kira apa pun,” katanya lagi. - DagangNews.com