SC pelawa sarjana, pengamal sertai program felo kewangan Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford | DagangNews Skip to main content

SC pelawa sarjana, pengamal sertai program felo kewangan Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford

Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), United Kingdom.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa para sarjana memohon Program Felo Sarjana Tamu (SIR) ke-13 dalam bidang Kewangan Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), United Kingdom bagi tahun akademik 2024/25.

 

Program SIR terbuka kepada ahli akademik atau pengamal kewangan yang mempunyai minat dan berkebolehan menjalankan penyelidikan gunaan secara bebas mengenai topik kontemporari yang berkait pasaran modal Islam (ICM).

 

Menurut SC, bidang tumpuan harus terkini dan relevan dengan ICM, dan keutamaan kepada Maqasid al-Shariah, kewangan sosial Islam dan fintech, ekonomi halal, pelaburan berimpak dan pelaburan mampan dan bertanggungjawab.

 

"Pemohon yang mempunyai kepakran dalam kewangan Islam dan/atau disiplin yang berkait rapat dengan pengalaman praktikal yang luas dalam bidang berkaitan adalah digalakkan untuk memohon.

 

"Pemohon yang berjaya dijangka menetap di Oxford selama satu tahun akademik di OCIS mulai Oktober 2024, untuk menjalankan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti akademik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ocis

 

 

SC berkata, sebagai sebahagian daripada program ini, sarjana terpilih juga sesekali dikehendaki memberi syarahan dan mengadakan seminar, terlibat dalam kajian kolaboratif, dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.

 

"SIR adalah sebahagian daripada usaha kepimpinan pemikiran dan pembangunan kapasiti SC yang berterusan untuk memajukan pembangunan global ICM. 

 

"Sambutan yang menggalakkan untuk program ini setiap tahun membuktikan kepentingannya
dalam memupuk pertukaran pengetahuan dan idea," jelasnya.

 

Tarikh tutup permohonan ialah 30 April 2024 dan untuk butiran lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Visiting Fellowship di laman web OCIS di www.oxcis.ac.uk, kata SC. - DagangNews.com