SC perjelas SOP peserta pasaran modal sepanjang tempoh ‘lockdown’ | DagangNews Skip to main content

SC perjelas SOP peserta pasaran modal sepanjang tempoh ‘lockdown’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengesahkan bahawa pasaran modal akan terus dibuka dan beroperasi pada waktu operasi seperti biasa sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh atau ‘lockdown’ bermula esok sehingga 14 Jun 2021. 

 

Sebagai penyedia perkhidmatan perlu, ini bermakna peserta pasaran modal (CMP) boleh menjalankan serta menyediakan perkhidmatan dan aktiviti pasaran modal. 

 

Entiti-entiti ini termasuk bursa-bursa yang diluluskan, entiti berlesen (pemegang CMSL), individu berdaftar, juruaudit yang berdaftar dengan Lembaga Pemantauan Audit, organisasi swaatur, pengendali pasaran diiktiraf (RMO) dan entiti berkaitan pasaran modal yang lain, jelas SC.

 

“Bagi menyokong usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 semasa tempoh sekatan pergerakan yang kritikal ini, CMP dikehendaki meminimumkan kapasiti tenaga kerja mereka di pejabat.

 

“Di bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi pasaran modal yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), CMP mesti memastikan bilangan kakitangan mereka yang bekerja di pejabat dihadkan kepada 60% sepanjang tempoh ini.

 

“CMP dikehendaki menyediakan kriteria dan proses yang jelas bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan SOP serta menyimpan rekod yang lengkap dan terkini mengenai kakitangan yang bekerja di pejabat dan di rumah, yang harus dikemukakan kepada SC, sekiranya diminta,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di bawah SOP berkenaan, CMP juga dikehendaki memohon surat pengesahan daripada SC untuk membolehkan kakitangan mereka membuat perjalanan ke pejabat sepanjang tempoh tersebut. 

 

Sebagai rekod, SC selaku badan kawal selia bagi pasaran modal, diberi kuasa oleh Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan surat pengesahan perjalanan kepada CMP dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi khidmat kritikal. 

 

CMP yang memerlukan surat pengesahan boleh menghantar permohonan melalui e-mel kepada SC di [email protected].

 

Sementara itu, SC juga telah mengemas kini Nota Panduannya, Guidance Note on the Conduct of General Meetings for Listed Issuers (Nota Panduan). 

 

“Sepanjang tempoh sekatan perjalanan penuh, hanya mesyuarat agung secara maya sepenuhnya dibenarkan di mana semua peserta mesyuarat, termasuk pengerusi mesyuarat, ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan pemegang saham, mengambil bahagian dalam mesyuarat secara dalam talian. 

 

“Sebarang pertanyaan berkaitan Nota Panduan tersebut boleh diajukan kepada [email protected],” jelas SC lanjut. - DagangNews.com