SC serbu pejabat syarikat-syarikat tersenarai susulan dakwaan salah laku | DagangNews Skip to main content

SC serbu pejabat syarikat-syarikat tersenarai susulan dakwaan salah laku

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 14 Mac - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melakukan serbuan di pejabat-pejabat `syarikat tersenarai tertentu' di sekitar Lembah Klang hari ini.

 

Dalam kenyataan media, SC berkata suruhanjaya itu memandang serius sebarang dakwaan salah laku dan akan mengambil tindakan yang perlu untuk menangani sebarang salah laku yang ditemui semasa siasatan.

 

"Bagaimanapun, disebabkan sifat penyiasatan yang berterusan, SC tidak dapat memberikan butiran lanjut pada masa ini," kata pengawal selia itu.

 

Awal hari ini, media melaporkan bahawa SC telah menyerbu beberapa syarikat yang disenaraikan di bursa saham tempatan berikutan aduan dan maklumat daripada orang ramai.

 

Aduan itu adalah mengenai penipuan yang didakwa, serta kemungkinan pendedahan palsu atau mengelirukan oleh beberapa syarikat tersenarai awam dalam proses penjanaan dana mereka, termasuk penempatan persendirian, skim opsyen saham pekerja dan terbitan hak.

 

 

sc

 

 

Memetik sumber ia berkata serbuan dilakukan di sekitar kawasan Tropicana di Petaling Jaya.

 

"Sejumlah syarikat tersenarai telah mengambil kesempatan daripada peraturan penjanaan dana yang dilonggarkan semasa krisis COVID-19.

 

"Peraturan itu diubah untuk membolehkan syarikat menjual sehingga 20 peratus daripada modal saham terbitan mereka melalui penempatan persendirian sehingga 31 Disember 2021, berbanding 10 peratus sebelum ini," tambahnya.- DagangNews.com