ScaleUp Malaysia umum senarai 20 syarikat sertai program Kohort 3 bagi luaskan perniagaan ke luar negara | DagangNews Skip to main content

ScaleUp Malaysia umum senarai 20 syarikat sertai program Kohort 3 bagi luaskan perniagaan ke luar negara

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Agensi penggalak pembangunan usahawan, ScaleUp Malaysia mengumumkan pemilihan 20 syarikat untuk menyertai program Kohort 3 selepas menerima lebih 200 permohonan daripada syarikat pemula tempatan dan luar negara seperti dari Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Singapura, Jepun dan Mesir.

 

Mengulas mengenai pemilihan 20 syarikat tersebut, Rakan Pengurusan ScaleUp Malaysia, Andre Sequerah berkata, syarikat-syarikat berkenaan terdiri daripada pelbagai segmen perniagaan, termasuk industri vertikal seperti teknologi pendidikan, kewangan, pemprosesan makanan, media, pembuatan, keselamatan siber dan e-dagang.

 

Walaupun program anjuran ScaleUp Malaysia menetapkan pendapatan syarikat pada tahun lalu perlu mencapai minimum RM300,000 tetapi mereka memiliki rekod cemerlang dengan pendapatan mencecah purata RM1.2 juta.

 

"Kami memilih syarikat-syarikat ini berdasarkan keupayaan mereka membangunkan penyelesaian berasaskan norma baharu dan keupayaan melaksanakan rancangan perniagaan semasa pandemik COVID-19.

 

“Mereka perlu mempunyai sokongan yang betul dalam membina perniagaan yang lestari, berskala dan mempunyai pelan hala tuju yang jelas untuk memperluaskan perniagaan ke luar negara. Ini telah menjadi matlamat utama kami untuk semua peserta Kohort 3,” tambah Sequerah.

 

Dua firma modal teroka antarabangsa iaitu Quest Ventures dan Indelible Ventures menyertai ScaleUp Malaysia sebagai rakan kerjasama dalam Kohort 3 yang akan menjalankan program pembangunan perniagaan melalui trek tersendiri bersama syarikat-syarikat terpilih.

 

Antara yang terpilih berada dalam program tersebut termasuk Jazro Tech, MADCash, Traitily, GuruInovatif, SpareXHub, Nanka, Vireserve, Open Academy, Hav., PantangPlus, J8 Autism, Graze Market, WeGo, Wa Sushi serta Biztech.Asia.

 

Tahun ini merupakan tahun kedua syarikat Quest Ventures yang berpangkalan di Singapura menjalinkan kerjasama dengan ScaleUp Malaysia.

 

Rakan Niaga Quest Ventures, Jeffrey Seah berkata, kebiasaannya pengasas syarikat di Malaysia mudah didekati dan tidak mempunyai masalah untuk medapatkan sumber kewangan tetapi cabaran sebenar adalah mendapatkan pelabur yang mempunyai rangkaian yang mampu membawa perniagaan mereka memasuki pasaran luar negara.

 

“Pengenalan terhadap perniagaan tersebut adalah dengan menyediakan model pengesahan produk dan penetapan harga yang akan membuka potensi syarikat-syarikat ScaleUp, serta membimbing mereka mendapatkan pembiayaan modal teroka bagi peringkat perniagaan seterusnya,” katanya. 

 

Sementara itu, syarikat yang berpangkalan di AS, Indelible Ventures berminat untuk melabur dalam syarikat pemula B2B (Business to Business) Malaysia dan mereka memilih lima syarikat pemula yang diyakini mempunyai potensi memasuki pasaran antarabangsa untuk menyertai trek program pembangunannya.

 

“Syarikat-syarikat ini telah menunjukkan bahawa mereka mampu membina produk bertaraf dunia dan kini berada pada titik peralihan. 

 

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk meletakkan syarikat pemula Malaysia ke peringkat serantau dan global," kata Rakan Pengurusan Indelible Ventures, Kevin Brockland.

 

Syarikat yang dipilih untuk menyertai trek Indelible Ventures adalah Midwest Composites, Howuku, Q3 Payments, GoCloud dan Neptrix.

 

Kesemua 20 syarikat terpilih menyertai Kohort 3 itu akan menjalani proses pembangunan intensif selama empat bulan dengan tujuan untuk membantu mereka mengenal pasti dan menangani jurang dalam model dan strategi perniagaan.

 

ScaleUp Malaysia, Quest Ventures dan Indelible Ventures akan menggunakan pendekatan seperti The ScaleUp Playbook bagi membina produk berskala, pemodelan kewangan, merangka naratif perniagaan, strategi pemasaran dan pelbagai lagi melalui latihan berasaskan kumpulan dan sesi bimbingan.

 

Menjelang Januari hadapan, 10 syarikat yang berjaya dalam program itu akan menerima tawaran pelaburan sebanyak RM250,000 untuk terus memajukan perniagaan mereka dengan bantuan ScaleUp Malaysia, Quest Ventures dan Indelible Ventures.-DagangNews.com