Scanwolf peroleh gabungan kontrak bekalan lantai RM16.1 juta bagi projek hartanah di Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Scanwolf peroleh gabungan kontrak bekalan lantai RM16.1 juta bagi projek hartanah di Lembah Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR  2 Sept - Scanwolf Corporation Bhd menerusi  Scanwolf Flooring Industries Sdn Bhd, baru-baru ini memperoleh beberapa kontrak bekalan lantai berjumlah RM16.1 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu dianugerahkan oleh beberapa syarikat pembinaan dan pemaju hartanah terkemuka bagi penyediaan produk lantai berkualiti tinggi untuk pelbagai projek hartanah di kawasan Lembah Klang.

 

"Termasuk kontrak di atas, kumpulan itu mempunyai buku pesanan pembuatan sebanyak RM18.1 juta pada 31 Julai 2024, yang memberikan keterlihatan kepada pendapatan syarikat dalam tempoh satu hingga dua tahun kewangan akan datang," katanya.

 

Scanwolf Flooring Industries diperakui oleh Skim Label Hijau Singapura dan MyHIJAU, program pensijilan hijau yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

 

Pensijilan itu bukan sahaja menekankan prestasi alam sekitar unggul produk Scanwolf tetapi juga meningkatkan daya saingnya dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

 

“Melihat ke hadapan, Scanwolf akan terus menumpukan pada penyelidikan, pembangunan dan penyediaan produk lantai yang inovatif untuk memenuhi keperluan pasaran yang berkembang dan menggalakkan pembangunan mampan industri pembinaan.

 

“Bagi baki tahun 2024, syarikat menjangka memperoleh peluang tender bernilai RM14.3 juta daripada sektor awam, serta pesanan berterusan daripada B2B (perniagaan-ke-perniagaan), B2C (perniagaan-ke-pengguna), penjual semula dan pasaran eksport,” katanya. - DagangNews.com