SCIB raih kontrak EPCC RM63.91 juta membina servis apartmen 35 tingkat di KL | DagangNews Skip to main content

SCIB raih kontrak EPCC RM63.91 juta membina servis apartmen 35 tingkat di KL

KUALA LUMPUR 11 Nov – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), menerusi subsidiarinya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd. (SIBS) telah menerima satu Surat Penganugerahan dan Penerimaan (LOA) daripada Twinwood Development Sdn. Bhd. bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dianggarkan bernilai RM63.91 juta di Lot 36381, Mukim Petaling di sini.

 

Kontrak EPCC tersebut adalah bagi pembinaan satu blok servis apartmen 35 tingkat terdiri daripada 332 unit dan mengandungi 8 tingkat podium ruang meletak kereta, satu paras fasiliti, 26 tingkat servis apartmen, dan satu tingkat ruang meletak kereta di bawah tanah.

 

Projek ini dijangka mengambil masa 20 bulan pembinaan, bermula 5 Disember ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rosland Othman berkata, projek tersebut memberikan syarikat momentum yang diperlukan untuk terus berkembang di Semenanjung Malaysia.

 

``Ini menunjukkan ketika kami terpaksa menamatkan kontrak bagi projek-projek di Timur Tengah, kami masih kekal berdaya tahan dan memperoleh peluang di dalam negara ini.

 

‘’Kami memfokuskan untuk menggunakan kekuatan kami sebagai pembuat konktrit terbesar dan Sistem Pembinaan Industri (IBS) di Malaysia Timur bagi membangunkan peluang-peluang bukan sahaja di Malaysia Timur tetapi juga Semenanjung Malaysia.

 

“Lagi pun, dengan mengguna pakai teknologi 3D di dalam projek pembinaan kami, ia memberikan kami kelebihan daya saing yang diperlukan di dalam industri pembinaan.


 

Rosland Othman
Rosland Othman

 

 

``Mengguna pakai penawaran IBS dan teknologi 3D ini, projek kami akan menjadi lebih efisien berbanding sebelum ini dan boleh disiapkan dalam kerangka masa lebih pendek tanpa menggadaikan kualiti bahan pembinaan,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Rosland berkata, berkaitan penggantungan dagangan saham syarikat, pihaknya mahu menegaskan sekali lagi bahawa operasi SCIB tetap berjalan seperti biasa.

 

‘’Kami mahu menyakinkan semua pemegang kepentingan, rakan perniagaan, vendor dan kakitangan bahawa kami bekerja bersama-sama firma audit luaran untuk mempercepatkan proses memuktamadkan audit penyata kewangan dan kami sasarkan laporan tahunan untuk diterbitkan pada Disember tahun ini, kata Rosland.  – DagangNews.com