SCIB raih kontrak EPCC RM80 juta di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

SCIB raih kontrak EPCC RM80 juta di Johor Bahru

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM80 juta bagi pemerolehan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan (EPCC) peralatan perubatan di sebuah hospital pakar yang dicadangkan di Johor Bahru.

 

SCIB menjelaskan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) daripada Kencana Healthcare Sdn Bhd (KHSB) itu bertempoh 10 tahun dan mungkin dilanjutkan secara bersama bagi lima tahun seterusnya.

 

"(Jumlah RM80 juta itu) adalah peruntukan pembelian maksimum bagi semua peralatan yang akan dibekalkan berasaskan konsesi pajakan peralatan modal," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

 

SCIB menambah, skop kerja berkenaan meliputi penyumberan dan rundingan bagi semua peralatan perubatan berdasarkan senarai bekalan yang akan disediakan KHSB dan disahkan oleh pengendali, Institut Jantung Negara (IJN).

 

SCIB antara lain diminta menyediakan penyelenggaraan komprehensif selama 10 tahun bermula dari tarikh pemasangan, setuju terima pembekalan atau pentauliahan peralatan itu.

 

"Sebarang keuntungan kepada syarikat akan direalisasikan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak berasaskan kemajuan projek. Kontrak yang diperoleh itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan SCIB Group sepanjang tempoh kontrak," katanya, lapor Bernama.

 

Kontrak itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan/atau mana-mana pihak pengawal selia. - DagangNews.com