KUALA LUMPUR 5 Dis – Pakar sistem bangunan perindustrian, Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuh Syarikat, SCIB Industrialized Building System Sdn. Bhd. menerima Surat Anugerah dan Penerimaan (LOA) untuk kerja kontrak besar daripada S & I Urban Designers Sdn. Bhd. bernilai RM16.8 juta, menggariskan pengaruh SCIB yang semakin meningkat dalam sektor pembinaan dan EPCC di Malaysia.
Kontrak itu melibatkan pembekalan dan penghantaran komponen pratuang untuk apron dan laluan landasan Projek Pembinaan Pangkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Sarawak.
Projek ini, merangkumi elemen reka bentuk dan pembinaan, dijadualkan berlangsung dari 5 Disember 2023 hingga 4 Oktober 2024, dalam tempoh 10 bulan.
Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Ku Chong Hong berkata, SCIB berbesar hati dapat bekerjasama dengan S & I Urban Designers Sdn. Bhd. dan yakin perkongsian ini akan membuahkan hasil yang cemerlang, seterusnya meningkatkan reputasi syarikat di dalam industri.
Projek ini mewakili langkah penting untuk SCIB dalam mengembangkan portfolio syarikat dalam sektor pembinaan dan EPCC, sambil mempamerkan keupayaan untuk mendapatkan dan menyampaikan projek berskala besar dan bernilai tinggi.
SCIB berharap dapat menyumbang kepada kejayaan Projek Pembinaan Pangkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Sarawak, dan untuk mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai pemain utama dalam industri.
Dengan kontrak baharu ini, buku pesanan SCIB kini berjumlah RM273.99 juta, disokong lagi dengan harga saham RM0.78 dan modal pasaran RM499.4 juta. - DagangNews.com