SCIB sumbang barangan asas bagi asnaf di Pulau Redang | DagangNews Skip to main content

SCIB sumbang barangan asas bagi asnaf di Pulau Redang

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman

 

 

KUALA LUMPUR 2 Sept – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menerusi subsidiarinya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SIBS) hari ini menyumbang barangan asas bernilai RM10,000 kepada 100 keluarga asnaf di Pulau Redang, Terengganu.

 

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu diadakan bersama syarikat usahasama dalam konsesi penyenggaraan jalan raya, Sasoakai Resources JV Sdn Bhd (SRSB) yang bekerjasama sebagai kontraktor utama bagi konsesi penyelenggaraan jalan raya oleh JKR Terengganu selama lima tahun bermula Ogos 2021.

 

Sebagai sebahagian daripada langkah pendekatan SSJV dalam menyumbang pada masyarakat dan alam sekitar, jawatankuasa CSR SSJV telah ditubuhkan bagi memenuhi misi syarikat tersebut.

 

Program CSR di Pulau Redang tersebut turut dijayakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai aktiviti sulung pasukan bantuan syarikat tersebut dalam usaha penganjuran lebih banyak aktiviti sosial bersama masyarakat di Terengganu.

 

Mewakili SCIB ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman dan SRSB pula oleh Syed Ahmad Anas.

 

Rosland berkata, inisiatif sumbangan derma seumpamanya bukan hanyalah satu bantuan tunggal dari syarikat tersebut kerana pasukan CSR SSJV akan terus menghulurkan bantuan bagi mereka yang memerlukan di negeri Terengganu.

 

Menurut beliau, acara sulung dari pasukan tersebut adalah dianggap sebagai batu loncatan untuk lebih banyak inisiatif bantuan SSJV dalam pengagihan derma dan bantuan amal lain di mana pasukan CSR SSJV bertekad untuk menjadikan SSJV sebagai salah satu syarikat yang dihormati dalam pelaksanaan transformasi sosio-ekonomi di Malaysia. – DagangNews.com