SCIB tamatkan 6 kontrak EPCC di Qatar, Oman | DagangNews Skip to main content

SCIB tamatkan 6 kontrak EPCC di Qatar, Oman

 

 


KUALA LUMPUR 10 Nov - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) menamatkan 6 kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Qatar dan Oman bagi mengurangkan risiko yang timbul daripada hutang yang telah lama tertunggak dengan para pelanggannya.

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia, SCIB berkata, syarikat telah menandatangani perjanjian penyelesaian masing-masing dengan Pavilion Qatar Engineering Co W.L.L, Revenue International LLC, Interceptor Trading & Contracting W.L.L dan Skyview Trading & Contracting W.L.L di kedua-dua buah negara untuk menamatkan kontrak yang diberikan sebelum ini kepada SCIB dan anak syarikat milik penuhnya, SCIB International (Labuan) Ltd. antara 25 Oktober 2019 dan 3 Disember 2020.

 

Katanya, kontrak-kontrak berkenaan termasuklah kerja-kerja berkaitan pembinaan villa, bangunan dan pusat perkhidmatan serta kerja-kerja awam bagi projek api air di Qatar dan Oman.

 

"Syarikat menguat kuasakan haknya di bawah kontrak dan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan SCIB bagi mengurangkan risiko daripada hutang yang sudah lama tertunggak oleh para pelanggannya dan ketidaktentuan ekoran pandemik COVID-19. 

 

"Malah, keputusan ini juga dibuat sebagai hasil daripada penyusunan semula strategi perniagaan bagi projek-projek di luar negara," katanya dalam makluman itu hari ini.

 

Menurut SCIB, jumlah hutang pelanggannya berjumlah AS$148.71 juta manakala jumlah hutang subkontraktor pula sebanyak AS$135.15 juta. 

 

Jelasnya, tuntutan akhir seperti yang dinyatakan dalam perjanjian penyelesaian adalah konsisten dengan peruntukan yang diambil di dalam akaun. 

 

"Oleh itu, penamatan kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan ke atas penggearan, pendapatan sesaham dan aset bersih SCIB bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

 

"Ia juga tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan dan pemegangan saham utama kumpulan,” katanya. 

 

Mulai semalam, dagangan saham SCIB digantung Bursa Malaysia Securities Bhd. ekoran kegagalannya mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021. 

 

Sementara itu, dalam kenyataan, SCIB berkata, projek-projek yang terkesan dengan penamatan kontrak ini termasuklah pembinaan 6 villa di Qatar yang diumumkan kali pertama pada Oktober 2019, 9 villa di Oman (diumumkan Oktober 2019 dan 18 bangunan 5 tingkat di Qatar (diumumkan April 2020).

 

Selain itu, ia juga termasuk 2 pusat perkhidmatan di Qatar yang diumumkan pada April 2020 diikuti dengan kontrak kerja-kerja awam bagi projek api air di Qatar (diumumkan Disember 2020) dan 20 villa di Oman (diumumkan pada April 2020). 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, keputusan untuk menamatkan projek berkenaan dibuat selepas perbincangan dan menilai semula daya maju komersial projek berdasarkan situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkannya sukar untuk memenuhi jadual projek.

 

"Kami juga menghadapi masalah mendapatkan pembiayaan untuk projek berkenaan berdasarkan keadaan pasaran semasa.

 

"Meskipun terdapat beberapa impak, tetapi keputusan yang diambil untuk menamatkan kontrak ini adalah demi kepentingan syarikat dalam tempoh jangka masa panjang dan juga pemegang saham," jelas beliau. 

 

Menurutnya, penamatan kontrak tersebut mencapai penyelesaian muktamad dan tiada penalti atau ganti rugi punitif dikenakan ke atas SCIB daripada pelanggan dan subkontraktor.  - DagangNews.com