Scientex beli tanah bernilai RM335.68 juta di Kuala Selangor | DagangNews Skip to main content

Scientex beli tanah bernilai RM335.68 juta di Kuala Selangor

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mac - Scientex Berhad melalui anak syarikatnya, Scientex Park (M) Sdn Bhd akan mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 334.27 hektar bernilai RM335.68 juta yang terletak di Batang Berjuntai di Kuala Selangor, Selangor.

 

Scientex Park telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Metalplex Plantation Sdn Bhd untuk cadangan pengambilalihan tanah yang terletak di Batang Berjuntai, Kuala Selangor bagi melaksanakan pembangunan hartanah bercampur di kawasan tersebut.

 

Cadangan pengambilalihan tanah ini dijangka siap pada separuh pertama 2025, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

“Kedekatan antara pembangunan sedia ada kumpulan dan cadangan pembangunan tanah tersebut membolehkan Scientex menjana kecekapan operasi yang lebih baik menerusi skala ekonomi lebih besar untuk dicapai ketika pelaksanaan projek,” katanya.

 

Kumpulan itu menambah bahawa pertambahan bank tanah tersebut juga selaras dengan matlamatnya untuk membina lebih banyak rumah mampu milik memenuhi objektif pembinaan 50,000 rumah di seluruh negara menjelang 2028.

 

“Tanah itu akan memberikan Scientex peluang untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatannya dalam jangka sederhana hingga panjang kerana tanah tersebut mempunyai potensi pembangunan yang cerah.

 

“Cadangan pengambilalihan berkenaan akan membolehkan Scientex memanfaatkan model perniagaan sedia ada dalam menyediakan hartanah tanah mampu milik dan berkualiti kepada kategori pasaran hartanah mampu milik dalam jangka sederhana hingga panjang,” tambahnya.

 

Saham Scientex menokok 3 sen atau 0.8% kepada RM3.80 setakat pukul 2:29 petang ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM5.89 bilion. - DagangNews.com