KUALA LUMPUR 15 Dis - Kenanga Research mengunjurkan segmen pembungkusan Scientex Berhad mencatatkan pertumbuhan lebih lemah bagi jangka pendek.
Katanya, ia disebabkan penyusutan permintaan terhadap pembungkusan pengguna ekoran ekonomi global yang perlahan.
Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi permintaan kukuh dalam sektor hartanah terutama menerusi pelancaran rumah mampu milik baharunya dengan kadar pengambilan yang kukuh melebihi 80%.
"Pengambilalihan tanah di Jenjarom, Selangor, serta Kulaijaya dan Tebrau, Johor, dijangka siap pada pertengahan 2024, yang akan mengekalkan pembangunan projek kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hasil bahagian pembungkusan Scientex susut kepada RM650.4 juta pada 1QFY24
Terdahulu, bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2023 (1QFY24), kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan 28.6% bagi keuntungan bersih kepada RM137.8 juta didorong oleh peningkatan 7.4% dalam hasil kepada RM1.1 bilion.
Prestasi yang bertambah baik didorong bahagian hartanah yang mencatatkan hasil 45.3% lebih tinggi sebanyak RM456.1 juta pada suku berkenaan berbanding RM313.9 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong oleh kemajuan pembinaan yang lancar untuk semua projek di seluruh Semenanjung Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih terasnya melonjak sebanyak 23% lebih ketara berikutan margin pembangunan hartanah yang lebih baik.
Katanya, keadaan itu didorong penyerapan kos yang lebih baik pada jualan yang lebih tinggi ditambah dengan penjimatan daripada pembelian pukal bahan binaan, sebahagiannya diimbangi oleh margin pembungkusan yang lebih rendah pada harga produk yang lemah.
"Kami menyukai kumpulan itu keranan daya saingnya dalam industri pembungkusan plastik global memandangkan saiz dan struktur kosnya yang rendah dan (ii) kedudukannya yang kukuh dalam segmen perumahan mampu milik di Johor.
"Bagaimanapun, perniagaan pembungkusan plastiknya berkemungkinan kekal lemah dalam tempoh terdekat berikutan kelembapan ekonomi global," katanya.
Kenanga Research menaikkan penarafan kumpulan itu kepada 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.75 sesaham. - DagangNews.com