Scientex Packaging akan terus berdepan cabaran kekurangan tenaga pekerja, kos resin yang tinggi | DagangNews Skip to main content

Scientex Packaging akan terus berdepan cabaran kekurangan tenaga pekerja, kos resin yang tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad akan terus berdepan pelbagai cabaran pada suku tahun kewangan akan datang termasuk kekurangan tenaga pekerja selain harga resin yang kekal tinggi di pasaran.

 

MIDF Research berkata, selain itu antara cabaran lain yang akan dihadapi kumpulan itu termasuk kenaikan kos logistik serta ketidakstabilan politik yang mungkin menjejaskan operasi mereka di Myanmar.

 

Katanya, meskipun harga resin dan kos logistik telah memuncak sebelum ini tetapi ia sudah mula menunjukkan trend namun masih di paras yang tinggi.

 

"Kami menjangkakan margin keuntungan kumpulan akan kembali pulih pada suku tahun kewangan akan datang dengan kos kembali normal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Scientex Packaging catat untung lebih rendah pada FY22 sebanyak RM43.15 juta

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM11.35 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2022 daripada RM8.88 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 43.5% kepada RM191.84 juta daripada RM133.73 juta didorong harga jualan purata (ASP) dan permintaan yang lebih tinggi bagi jualan eksport dan domestik.

 

Kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM43.1 juta dan ia mencapai unjuran firma itu yang membentuk 98% daripada anggaran dan konsensus setahun penuh.

 

Kumpulan itu mengumumkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.5 sen, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun ini kepada 5.0 sen, yang juga dalam jangkaan firma itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.83," katanya. - DagangNews.com