Scomi, Xair Generators bekerjasama bagi pemasaran dan penyelenggaran generator jimat tenaga | DagangNews Skip to main content

Scomi, Xair Generators bekerjasama bagi pemasaran dan penyelenggaran generator jimat tenaga

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Scomi Group Berhad mengumumkan jalinan kerjasama dengan Xair Generators Sdn. Bhd. pada 26 Julai 2022 bagi menggunakan  kemahiran, kepakaran, pengalaman untuk tujuan pemasaran, penyelenggaran, penjualan dan sewaan generator jimat tenaga.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, jalinan kerjasama itu adalah bagi memastikan ia dibuat secara rasmi antara kedua-dua pihak bagi menggunakan kemahiran masing-masing bagi kepentingan bersama di dalam perniagaan.

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, Xair akan menjadi pemegang saham terbesar dengan 80% pegangan ekuiti manakala 20% dipegang oleh Scomi.

 

"Kerjasama itu adalah bagi memasarkan, menjual, sewaan dan menyelenggara generator jimat tenaga untuk pasaran terpilih merangkumi Malaysia, Indonesia dan Pakistan," katanya.

 

Cadangan kerjasama itu adalah selaras dengan objektif Scomi untuk mencari pelbagai kerjasama strategik dan usaha sama untuk faedah sinergi bagi menjana keuntungan operasi yang mampan dan mencipta nilai untuk pemegang sahamnya.

 

Syarikat itu juga tidak melihat sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi berkaitan cadangan kerjasama itu yang dilihat sama dengan risiko operasi yang biasa.

 

"Oleh itu, Lembaga Pengarah percaya bahawa pengalaman dan kepakaran pasukan pengurusannya akan membolehkan syarikat mengurangkan risiko ini dengan berkesan." katanya.

 

Cadangan kerjasama itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham Scomi atau pihak kawal selia yang lain. - DagangNews.com