KUALA LUMPUR 22 Ogos - SD Guthrie yang dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd bekerjasama dengan TH Properties Sdn Bhd membangunkan taman perindustrian sijil halal pertama Malaysia di Negeri Sembilan.
Taman perindustrian itu akan dibangunkan di estet milik SD Gutherie seluas 464 hektar, menurut kenyataan bersama Guthrie dan TH Properties.
Nilai pasaran pembangunan tanah di Bukit Pelandok itu dianggarkan lebih RM220 juta.
Taman perindustrian baharu itu juga merupakan lanjutan daripada hab halal antarabangsa TH Properties, iaitu techpark @ enstek yang terdiri daripada Techpark 1 dan 2 di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
SD Gutherie berkata, pembangunan baharu itu akan berfungsi sebagai pengembangan semula jadi dan pelengkap kepada taman-taman tersebut.
"Kami menjangkakan taman baharu itu akan menarik perhatian syarikat tempatan dan antarabangsa yang ingin memperoleh pensijilan halal Malaysia serta memanfaatkan pengiktirafan global,” kata syarikat itu.
Pengarah Urusan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata memorandum persefahaman (MoU) dengan TH Properties dalam membangunkan taman disahkan halal itu akan meluaskan postensi tanah syarikat itu.
Taman perindustrian baharu itu akan menampilkan rangkaian kilang yang siap dibina mengikut kesesuaian, termasuk pilihan bersambung, kilang berkembar, serta menyediakan plot perindustrian kosong yang memenuhi pelbagai keperluan perniagaan.
Di samping itu, Mohamad Helmy berkata kedudukan strategik taman baharu itu yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan membawa banyak manfaat kepada syarikat.
“Dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya 16 kilometer, pembangunan taman perindustrian baharu itu akan menawarkan sambungan lancar dan kelebihan logistik, menjadikannya lokasi yang ideal untuk perniagaan yang ingin mengembangkan operasi mereka, ” ujar beliau.
Selain taman perindustrian halal, SD Guthrie juga sedang berbincang bersama beberapa agensi dan rakan kongsi negeri untuk membangunan taman perindustrian hijau di Perak.
Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang bakal dibina di atas tanah Perak seluas 1,069 hektar itu merupakan projek pembangunan taman perindustrian hijau pertama di Malaysia.- DagangNews.com