SD Property dijangka sasar jualan rumah 2021 lebih tinggi - CSG CIMB | DagangNews Skip to main content

SD Property dijangka sasar jualan rumah 2021 lebih tinggi - CSG CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - CGS-CIMB Research percaya sasaran jualan baharu Sime Darby Property Berhad (SD Property) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) lebih tinggi berbanding tahun lalu - sekitar RM1.4 bilion hingga RM1.6 bilion. 

 

Ini berdasarkan rancangan pelancaran yang lebih agresif untuk memanfaatkan Kempen Pemilikan Rumah ketika ini, jelas firma penyelidik itu. 

 

Menurut CGS-CIMB, kumpulan syarikat itu memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.5 bilion untuk projek baharu berbanding RM1.4 bilion pada tahun kewangan lalu. 

 

“Daripada nilai itu, sebahagiannya akan digunakan untuk pembangunan hartanah kediaman (43.3%) diikuti oleh rumah bertingkat (32.2%), perumahan berkanun (11.9%) hartanah perindustrian (11.5%) dan komersial (1.1%). 

 

“Dari segi harga, kami mendapati 31% daripada sasaran pelancaran baharu itu akan merangkumi hartanah bernilai RM300,000 hingga RM499,999, 52% bernilai RM500,000 hingga RM749,999, 13% bernilai RM750,000 hingga RM1.5 juta dan selebihnya, 4% bernilai lebih RM1.5 juta,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

CGS-CIMB menjangkakan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat memberi sedikit impak negatif kepada pemaju. 

 

Ini memandangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin akan disemak turun dengan ketidaktentuan politik dan penutupan galeri jualan akan menjejaskan sentimen pembelian hartanah. 

 

Tambah CGS-CIMB, majoriti pemaju telah melaksanakan kaedah pemasaran bukan konvensional sejak 2020 seperti galeri jualan secara maya dan pemasaran internet untuk mengurangkan impak terhadap jualan dan pemasaran. 

 

“Kami mendapati kebanyakan tapak binaan SD Property beroperasi, oleh itu kami percaya bil mungkin berjalan walaupun pada kadar yang perlahan kerana sekatan yang ketat di tapak tersebut,” ujar CGS-CIMB lanjut. 

 

Firma penyelidik itu mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham SD Property dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM0.84. 

 

CGS-CIMB kekal positif terhadap SD Property kerana kunci kira-kira kumpulan itu kukuh dengan paras penggearan bersih yang lebih rendah, memiliki tanah strategik berhampiran Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Lembah Visi Malaysia (MVV)  2.0 di Negeri Sembilan serta memiliki tanah banyak untuk memenuhi permintaan masa hadapan. 

 

"Kumpulan syarikat itu sedang memuktamadkan pelan induk MVV 2.0 Fasa 1, terdiri daripada 420 ekar tanah, menyasarkan pelancaran projek pada FY21. 

 

“Kami menjangkakan GDV Fasa 1 bernilai RM700 juta dan pelancaran baharu mungkin tertumpu pada produk perindustrian. 

 

“Menjangkaui 2020, kumpulan syarikat itu akan terus fokus untuk mempelbagaikan aliran pendapatan pembangunannya dan menambahbaik segmen perniagaan pelengkap dan penempatan perbandaran,” jelas CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com