Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 20 Dis - Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) sudah membuka semula sebahagian daripada lebuh rayanya untuk kegunaan orang ramai selepas ditutup sementara akibat banjir.
Projek Lintasan Shah Alam Sdn. Bhd. (PLSASB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mula laluan di kilometer 4.1 bagi kedua-dua arah kepada pengguna lebuh raya bermula jam 5:30 pagi ini setelah ditutup akibat kejadian banjir kilat yang turut menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam.
"Bagaimanapun, laluan di susur masuk dari bulatan Jubli Perak menghala ke Seksyen 23, Uptown Shah Alam dan susur masuk ke laluan utama menuju Kota Kemuning masih lagi ditutup.
"Laluan itu hanya akan dibuka semula setelah kerja-kerja pembersihan jalan selesai dilakukan dan selamat untuk laluan semua jenis kenderaan," katanya.
LKSA juga telah menempatkan pasukan ronda bagi membantu memastikan aliran trafik berjalan lancar dan pengguna dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa yang berada di kawasan yang terlibat.
LKSA akan mengeluarkan maklumat kemaskini mengenai status trafik dari masa ke semasa menerusi sistem mesej digital Variable Messaging System (VMS), platform media sosial Twitter LKSA @LKSAtrafik dan Facebook PROLINTAS Highways atau hubungitalian bebas tol di 1 3008 8280 1 untuk mendapatkan maklumat terkini. - DagangNews.com