SEDA Malaysia lulus permohonan 34 syarikat bagi kuota FiT secara e-bida | DagangNews Skip to main content

SEDA Malaysia lulus permohonan 34 syarikat bagi kuota FiT secara e-bida

KUALA LUMPUR 10 Mei - Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah meluluskan sebanyak 34 syarikat bagi permohonan kuota Tarif Galakan (FiT) secara e-bida untuk sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil bagi tahun 2021 dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 174.672MW.

 

SEDA Malaysia berkata, pihaknya telah menerima penyertaan daripada 66 syarikat dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 452.842MV atau 36% peningkatan berbanding penyertaan 42 syarikat dengan kapasiti sejumlah 365.552MV pada tahun 2020.

 

“Permohonan kuota FiT bagi tahun 2021 telah dibuka pada Jun 2021 dengan tawaran kuota sebanyak 187.805MV. Peningkatan ini merupakan satu kemajuan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia.

 

“Penawaran kuota FiT ini dijangka berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.56 bilion dan mewujudkan sebanyak 526 peluang pekerjaan dalam industri TBB,” menurut SEDA Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Keputusan permohonan kuota FiT tahun 2021, boleh dilayari menerusi portal SEDA Malaysia di www.seda.gov.my, katanya.

 

Sementara itu, permohonan kuota FiT tahun 2022 akan diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam masa terdekat bagi meneruskan kesinambungan projek-projek baharu di bawah mekanisme FiT dalam mencapai sasaran 31% campuran kapasiti TBB menjelang 2025 dan 40% pada 2035.

 

“Kami berharap agar lebih ramai pemaju turut serta dalam permohonan kuota FiT bagi tahun 2022, sekali gus mengembangkan industri TBB negara," kata SEDA Malaysia. - DagangNews.com