Sedania kembali catat untung bersih bagi tempoh 9 bulan, masih kekal berhati-hati dengan FY21 | DagangNews Skip to main content

Sedania kembali catat untung bersih bagi tempoh 9 bulan, masih kekal berhati-hati dengan FY21

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Sedania Innovator Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM1.24 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat berkali-kali ganda berbanding RM48,000 bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat lebih 300% kepada RM10.25 juta daripada RM2.5 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Peningkatan ini terutamanya disebabkan pendapatan yang lebih tinggi menerusi segmen teknologi kesihatan dan teknologi hijau kumpulan. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan segmen teknologi kesihatan berjumlah RM7.89 juta atau merangkumi 76.86% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

 

Segmen teknologi kewangan (FinTech) pula menyusut kepada RM970,000 daripada RM1.17 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan trafik yang lebih rendah daripada platform Tawarruq dalam suku dikaji.

 

Pendapatan bagi segmen teknologi hijau pula meningkat kepada RM850,000 manakala segmen teknologi telekomunikasi pula merekodkan pendapatan sebanyak RM550,000 pada suku ketiga.

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, Sedania merekodkan pendapatan yang lebih rendah pada suku ketiga sebanyak RM10.25 juta berbanding suku sebelumnya berjumlah RM10.84 juta disebabkan sumbangan lebih rendah menerusi segmen teknologi hijau dan FinTech.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, kumpulan kembali merekodkan untung bersih sebanyak RM7.92 juta berbanding kerugian bersih berjumlah RM4.73 juta.

 

Sebaliknya, pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM38.16 juta daripada RM6.39 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Sedania berkata, operasi kumpulan bagi tempoh kewangan semasa terjejas dengan sekatan pergerakan di seluruh negara antara Jun hingga awal Ogos 2021. 

 

Katanya, persekitaran operasi perniagaan kumpulan masih kekal mencabar dalam tempoh suku dikaji.

 

"Oleh itu, kumpulan kekal komited untuk meningkatkan strategi jangka panjang, menguruskan kecekapan dan melaksanakan usaha pengoptimuman kos bagi memastikan kemampanan perniagaan. 

 

"Pada masa sama, kumpulan juga komited untuk mengukuhkan porfolio perniagaan sedia ada," jelasnya.

 

Melangkah ke masa hadapan, menurut Sedania, ahli lembaga pengarah masih kekal berhati-hati tetapi optimis untuk memberikan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan 31 Disember 2021 (FY21). -DagangNews.com