Sediakan akses saksama kepada saringan dan vaksinasi HPV bagi atasi kanser serviks | DagangNews Skip to main content

Sediakan akses saksama kepada saringan dan vaksinasi HPV bagi atasi kanser serviks

Oleh Nurul Izzah Anwar

TAHUN 2019, merupakan titik permulaan perjuangan saya dalam perang melawan kanser serviks apabila mula bekerjasama rapat dengan Prof Woo Yin Ling, pengasas Program ROSE di Malaysia berkaitan pensampelan kendiri Human Papillomavirus atau HPV DNA untuk saringan serviks.

 

Dalam memperjuangkan isu-isu wanita, saya memberi tumpuan khususnya berkait dengan kesihatan ingin menyeru penglibatan pelbagai pemegang taruh untuk bersama-sama berusaha menghapuskan kanser serviks.

 

Kanser ini merupakan sejenis barah yang boleh dicegah melalui vaksinasi dan ujian saringan, dan tidak sepatutnya mengancam mana-mana wanita, ibu, kakak atau anak perempuan kita.

 

Atas faktor ini, saya alu-alukan kedatangan delegasi ke pelancaran Global HPV Consortium di Kuala Lumpur pada 5 September 2023. Konsortium ini adalah gerakan awam-swasta bagi menghalang jangkitan HPV dalam usaha menghapuskan kanser serviks, iaitu penyakit utama berkait HPV yang sudah lama mencetuskan kebimbangan masyarakat.

 

Gerakan ini menghimpunkan pemegang-pemegang taruh, antaranya dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Mesir, Senegal, Nigeria, Afrika Selatan, Malawi, Brazil, Argentina, India dan Singapura.

 

Mereka berkongsi masa dan tenaga untuk menjalin rangkaian hubungan dan kerjasama dengan pemegang-pemegang taruh, merangka senarai keperluan dan menjangka senarai cabaran, selain berkongsi amalan terbaik bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam usaha membanteras kanser berbahaya ini.

 

 

hpv

 

 

Kisah menyayat hati seorang ibu di Borneo

Menceritakan kejadian empat tahun lalu, kisah sedih yang menimpa seorang wanita di sebuah perkampungan di pedalaman Borneo, yang hanya menerima rawatan kesihatan selepas kanser serviks yang dialaminya didiagnos sudah mencapai tahap kritikal.

 

Kisah bermula dengan wanita berkenaan sebenarnya sudah mengalami pendarahan selama beberapa bulan, namun ketika itu dia terlalu malu untuk mendapatkan bantuan.

 

Ditambah pula dengan kos dan masa yang diperlukan untuk ke hospital daerah terdekat dari rumahnya di perkampungan yang jauh ke pedalaman, kira-kira tiga jam perjalanan, beban ditanggung wanita berkenaan semakin berat.

 

Atas faktor-faktor tersebut, dia bersendirian menanggung penderitaan, menyembunyikan sakit yang melelahkan, mengalami pendarahan dan sentiasa keletihan sambil berjalan beberapa jam sehari dan mengendong anak kecilnya di belakang untuk mencari rezeki menoreh getah demi kelangsungan hidup keluarga yang susah.

 

Ketika dia didiagnos, kanser yang dialaminya sudah sampai tahap kritikal dan walaupun usaha terbaik dilaksanakan pasukan perubatan untuk mengawal barah yang menyerang, wanita ini telah menemui ajal beberapa bulan kemudian.

 

Kisah ibu ini meninggalkan kesan sangat mendalam kepada saya, yang mendorong saya menanam tekad untuk berusaha lebih gigih bagi mencegah dah menghapuskan kanser serviks di Malaysia khususnya dan di dunia, amnya.

 

Kisah kejayaan Vaksinasi Malaysia

Terdapat banyak kisah kejayaan Malaysia dalam usaha vaksinasi HPV dalam kalangan gadis berusia 12 higga 15 tahun, yang kadarnya mencecah 90 peratus dalam tempoh tahun 2010 hingga tahun 2020.

 

Kejayaan itu terhasil daripada komitmen signifikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi kerajaan dalam merangka program vaksinasi yang efektif.


 

hpv

 


Walaupun pelaksanaan program berkenaan tergendala sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan kini sedang merangka usaha-usaha untuk memulakan kembali inisiatif itu dan memastikan kaedah berkesan dalam melaksanakan vaksinasi HPV untuk kumpulan sasaran yang terlepas proses berkenaan ketika pandemik pada 2021 dan 2022.

 

Data terkini daripada Universiti Malaya (UM) juga menunjukkan usaha bersepadu dalam tempoh 10 tahun lalu di Malaysia, menyaksikan pengurangan sehingga 90 peratus dalam sasaran vaksinasi HPV jenis 16 dan 18, pencapaian dan prestasi yang luar biasa.

 

Sebagai ibu, saya turut menekankan kepentingan melindungi anak-anak daripada penyakit yang boleh dicegah, termasuk kanser berkait HPV dan disebabkan itu, saya memutuskan untuk memvaksinkan anak perempuan saya, Safiyah dan anak lelaki, Harith.

 

Beliau juga menggesa penggubal dasar dan pemegang taruh supaya memastikan kanak-kanak di Malaysia dilindungi daripada kanser berkait HPV, iaitu penyakit yang mampu dicegah. 

 

Saringan

Pendekatan ‘the whole-of-society’ yang diamalkan di Malaysia dalam usaha menghapuskan kanser serviks. Sejak tahun 2019, pemegang-pemegang taruh dalam kerajaan, akademik, pakar-pakar mengenai dasar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggembleng usaha untuk memastikan perubahan berkesan ke arah pensampelan kendiri HPV DNA berketepatan tinggi untuk saringan serviks.

 

Banyak yang sudah dicapai di Malaysia melalui komitmen dan kerja keras KKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta khidmat pelbagai NGO seperti Program ROSE.

 

Namun, saya mengakui segala usaha berkenaan perlu dipergiatkan dan dipercepatkan jika Malayasia mahu berada di landasan tepat untuk melaksanakan Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030.

 

Untuk masa hadapan yang lebih baik, saya juga berkongsi penegasan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini yang mahu semua pihak melihat ‘penjagaan kesihatan sebagai satu pelaburan, bukannya kos’ sebagai kenyataan yang sangat menggalakkan.


 

hpv

 


Apa yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan itu adalah satu paradigma atau corak pemikiran yang perlu diguna pakai oleh komuniti global untuk melihat kepeningan vaksinasi HPV dan pensampelan kendiri HV DNA bagi saringan serviks.

 

Hanya sekali vaksinasi ketika usia antara 12 hingga 15 tahun dan dua ujian berketepatan tinggi HPV DNA (dilaksanakan melalui pensampelan kendiri/kit ujian kendiri) dalam jangka hayat wanita, boleh mengelakkan mereka daripada kesakitan dan penderitaan akibat kanser serviks.

 

Dengan kos sekitar sekitar RM1,000 (AS$214) bagi dua proses untuk untuk mengelakkan diri wanita daripada ancaman kanser serviks, sememangnya ia merupakan suatu pelaburan yang berbaloi.

 

Laporan baru-baru ini oleh Economist, bertajuk ‘Impact and Opportunity: The case for investing in women’s cancers in Asia Pacific’, menyiarkan hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan sekiranya 90-70-90 sasaran penghapusan kanser serviks dipenuhi atau 90 peratus wanita divaksinasi, 70 peratus disaring dan 90 peratus dirawat menjelang 2030, maka hasilnya dijangkakan seperti berikut;

 

• Dijangkakan pulangan sebanyak AS$3.20 kepada ekonomi untuk setiap dolar AS yang dilaburkan pada tahun 2050 dan selepasnya, berdasarkan hanya kepada sumbangan berterusan golongan pekerja wanita.


• Angka itu dijangka meningkat kepada AS$26 apabila impak daripada aspek kesihatan wanita yang meningkat kepada keluarga, komuniti dan masyarakat diambil kira.


• 250,000 wanita akan kekal sebagai anggota kumpulan pekerja yang produktif, menambah sebanyak AS$28 bilion kepada ekonomi global, iaitu AS$700 juta melalui peningkatan penyertaan dalam tenaga kerja dan hampir AS$27.3 bilion melalui manfaat secara tidak langsung daripada kesihatan yang baik kepada sosioekonomi.

 

Saya turut menggesa industri-industri yang bertanggungjawab agar mereka dapat menunjukkan komitmen sebenar untuk bekerjasama dengan kerajaan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya di selatan dunia - di mana ada peningkatan lebih 80 peratus kematian akibat kanser serviks - untuk memastikan akses saksama kepada vaksinasi dan saringan HPV.


 

hpv

 


Saya akui terdapat banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan setiap kanak-kanak di Asia Tenggara, Asia dan Afrika mempunyai akses terhadap vaksinasi HPV dan semua wanita mempunyai akses terhadap ujian HPV DNA berketepatan tinggi.

 

Saya juga melahirkan harapan yang tinggi agar perbincangan yang bermula pada pelancaran Global HPV Consortium ini akan memberi impak yang positif dan membolehkan perancangan kolektif dihasilkan dalam kalangan pemegang-pemegang taruh.

 

Saya harap penggubal dasar, wakil-wakil kerajaan, pakar-pakar akademik, pakar-pakar perubatan, pejuang-pejuang kepentingan pesakit, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak-pihak industri yang bertanggungjawab dapat memastikan tiada kanak-kanak dan tiada wanita tercicir, sekali gus memastikan kanser serviks dapat dihapuskan daripada kehidupan komuniti. - DagangNews.com