Sediakan ruang mahasiswa bangunkan negara | DagangNews Skip to main content

Sediakan ruang mahasiswa bangunkan negara

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

GOLONGAN mahasiswa adalah generasi masa depan yang diletakkan harapan tinggi untuk meneruskan legasi kepimpinan dan kecemerlangan negara terutamanya dalam konteks membangunkan negara dan meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.

 

Malah golongan intelek ini juga diyakini mampu menjadi tulang belakang dan memainkan peranan penting dalam membantu agenda membangun Malaysia Madani.

 

Justeru pihak kerajaan dan semua pemegang taruh serta komponen masyarakat perlu yakin dan percaya dengan kemampuan golongan mahasiswa sekali gus membuka ruang seluas-luasnya dan memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu membangunkan negara tercinta ini.

 

Ironinya, apa yang sedang dirancang dan dilaksana pada ketika ini bakal memberi impak langsung terhadap kehidupan mahasiswa pada masa akan datang.

 

Maka pandangan serta idea mereka sangat wajar untuk diberi perhatian supaya hala tuju yang sedang dicorak akan ada kesinambungan bila mereka mengambilalih tanggungjawab untuk meneruskannya kelak.

 

 

parafrasa

 

 

Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu memberi perhatian untuk memperkasa peranan golongan mahasiswa dengan menyedia serta membuka ruang secukupnya untuk golongan ini terlibat sama dalam proses pembentukan dasar, pembuatan keputusan serta di peringkat pelaksanaan.

 

Hal ini penting kerana pada akhirnya mereka yang akan merasai kesan pelaksanaan sesuatu dasar serta akan menentukan kesinambungan serta keberkesanannya.

 

Ironinya zaman kerajaan tahu semua perkara sudah berakhir, lantas mahasiswa wajar dijadikan rakan strategik penting yang bukan saja boleh memberikan pelbagai idea, pandangan dan sumbangan untuk membangunkan negara malah boleh juga berperanan sebagai mata dan telinga yang menyampaikan permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat kepada kerajaan.

 

Melalui pendekatan ini kerajaan dapat merangka pelbagai dasar serta inisiatif untuk membantu semua lapisan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan.

 

Dalam konteks ini semua agensi kerajaan perlu mencontohi inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang telah memulakan Program Temu Anwar yang menjadi platform perjumpaan Perdana Menteri bersama anak muda di universiti.


 

parafrasa

 


Program ini mula mendapat sambutan dan maklum balas yang cukup positif dari semua khususnya golongan pelajar universiti kerana Anwar menggunakan ruang ini untuk berkongsi hala tuju pembangunan negara dengan golongan mahasiswa, mendengar pandangan, cadangan serta idea baharu yang dikemukakan serta terus menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh golongan pelajar. Jelas ini satu penghargaan yang cukup tinggi kepada golongan mahasiswa yang datangnya daripada pemimpin nombor satu negara.

 

Kita juga menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang memberikan perhatian serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa melalui pelbagai sesi libat urus serta pemberian tanggungjawab.

 

Misalnya KPT baru-baru ini mengarahkan agar pihak pengurusan universiti melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar/Kesatuan Mahasiswa (MPP/KM) masing-masing dalam proses merangka dan membangunkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

 

Ketetapan ini membolehkan mahasiswa diberikan peluang untuk suara dan keperluan mereka didengari dan diambil perhatian dengan jelas sekali gus menzahirkan  kesungguhan dan komitmen KPT dalam memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan kepada mahasiswa.

 

Maka diharap semua kementerian dan agensi kerajaan yang lain juga boleh mencontohi komitmen Perdana Menteri dan KPT seperti ini agar turut memberi perhatian serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa secara lebih menyeluruh mencakupi semua dasar dan pelan tindakan di peringkat nasional.

 

Jangan tinggalkan mereka dalam proses perancangan sebarang dasar atau program yang sedang dibangun dan bakal dilaksanakan.

 

 

parafrasa

 

 

Untuk itu disarankan semua kementerian dan agensi kerajaan menubuhkan sebuah unit khas yang boleh fokus kepada sesi libat urus bersama mahasiswa untuk mendapatkan input dan maklum balas tentang sesuatu perancangan serta agenda pembaharuan yang hendak diperkenalkan.  

 

Sesi libat urus ini boleh dijadikan agenda tetap melalui perjumpaan secara berjadual dan berkala untuk dijadikan sesi perkongsian pandangan tentang pelbagai isu semasa membabitkan kehidupan seharian masyarakat dan proses pembangunan negara dari perspektif dan kaca mata golongan muda.

 

Selain itu, perlu dibuka sebanyak mungkin ruang dan peluang untuk golongan mahasiswa turut sama terlibat dalam pelaksanaan sesuatu program atau inisiatif terutamanya untuk anggota masyarakat. Percayalah mahasiswa memiliki pengalaman dan kemahiran insaniah yang mencukupi untuk memainkan pelbagai peranan bagi menjayakan sesuatu program yang hendak dilaksanakan agensi kerajaan.

 

Hal ini dikatakan demikian kerana pihak IPT sentiasa menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang menerapkan elemen kemahiran insaniah seperti kerjasama berpasukan, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran komunikasi, serta kemahiran kepimpinan supaya mahasiswa memperolehi pengalaman yang mencukupi selain memiliki smart dan sharp skills.

 

Justeru mereka hanya memerlukan peluang untuk membuktikan kemampuan tersebut dengan cara mengaplikasikan semua kemahiran yang telah dipelajari dalam bentuk tindakan.

 

Maka di sinilah agensi kerajaan boleh memainkan peranan, misalnya bila hendak melaksanakan sesuatu program jalinkan kerjasama strategik dengan IPT supaya boleh lantik mahasiswa sebagai ahli jawatankuasa pelaksana, juru acara majlis, pempengaruh untuk mempromosikan sesuatu program, projek atau inisiatif secara lebih kreatif dan mesra belia selain boleh saja dilantik mereka sebagai duta program.

 

 

parafrasa

 

 

Melalui pendekatan ini, bukan saja program dapat dilaksanakan dengan berkesan tetapi mahasiswa turut memperoleh pengalaman yang berharga.

 

Tuntasnya, golongan mahasiswa wajar digunakan sebagai kelompok penting untuk mendekati masyarakat terutamanya melalui pelantikan sebagai duta, antaranya boleh dilantik sebagai duta Malaysia Madani bagi menerangkan konsep baharu ini kepada semua lapisan anggota masyarakat supaya dapat memahami dan menerimanya dengan jelas.

 

Selain itu boleh dilantik sebagai duta perpaduan untuk memupuk dan membugarkan semangat perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat yang kini dilihat sangat rapuh dan membimbangkan.

 

Kesimpulannya, selain yakin dan percaya dengan kemampuan mahasiswa, semua pemegang taruh perlu memberi perhatian yang lebih serius kepada agenda pemerkasaan mahasiswa kerana mereka bakal meneruskan legasi kecemerlangan negara tercinta ini. Bilangan mahasiswa yang ramai wajar dijadikan aset strategik untuk membangunkan negara. - DagangNews.com

 

 

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED adalah TIMBALAN PENGARAH PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA