Segera atasi perjanjian eksklusif di bangunan tinggi, kata SKMM & MyCC | DagangNews Skip to main content

Segera atasi perjanjian eksklusif di bangunan tinggi, kata SKMM & MyCC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memandang serius terhadap isu perjanjian eksklusif dengan mendesak pihak terlibat untuk segera mengatasi isu tersebut.

SKMM dan Bahagian Komunikasi dan Advokasi MyCC dalam kenyataan bersama hari ini berkata, tindakan sesuai akan dikenakan kepada mereka yang gagal berbuat demikian mengikut  Akta Komunikasi dan Multimedia  (AKM) 1998 dan Akta Persaingan 2010.

"Dengan ini, SKMM dan MyCC mendesak semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pemaju hartanah dan syarikat pengurusan bangunan yang mengadakan perjanjian eksklusif untuk segera mengambil langkah pemulihan," jelas SKMM dan MyCC hari ini.

Amaran tersebut adalah hasil kerjasama kedua-dua suruhanjaya itu dalam usaha menangani isu perjanjian eksklusif antara syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pemaju hartanah atau syarikat pengurusan bangunan di bangunan-bangunan tinggi termasuk kompleks kediaman.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)

 

Kesalahan tersebut dikesan hasil daripada beberapa aduan orang ramai.

Perjanjian eksklusif yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu menyekat hak pengguna akhir untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi sekali gus menyebabkan harga perkhidmatan jalur lebar yang tinggi serta kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan.

SKMM baru-baru ini juga telah mengeluarkan garis panduan yang bertajuk "Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi" (GPP-1) untuk memudahkan perancangan dan pembangunan infrastruktur komunikasi di dalam pembangunan hartanah baharu.

Garis panduan tersebut juga melarang sebarang pengaturan eksklusif antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pemaju hartanah atau syarikat pengurusan bangunan.

"SKMM dan MyCC percaya dengan kerjasama ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada pengguna akhir.

"Mereka berpeluang untuk memilih penyedia perkhidmatan berpandukan kepada kualiti perkhidmatan atau harga yang berpatutan," jelas SKMM dan MyCC lagi. - DagangNews.com