Segera hubungi bank untuk sahkan status lanjutan moratorium | DagangNews Skip to main content

Segera hubungi bank untuk sahkan status lanjutan moratorium

Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Orang ramai yang memerlukan lanjutan moratorium digesa agar segera menghubungi pihak bank masing-masing bagi tujuan pengesahan status.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, langkah segera itu adalah penting untuk tujuan mendapatkan lanjutan moratorium selain mengelak rekod kredit terjejas selepas September ini.

"Saya sudah bertemu dengan wakil-wakil bank dan saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai.

"Namun, respon daripada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih tidak seperti yang diharapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Shahar Abdullah
Mohd. Shahar Abdullah

 

Jelas Shahar lagi, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap pemohon yang sengaja melambatkan permohonan di saat-saat akhir.

Menurutnya, pihak bank memerlukan tempoh satu hingga lima hari untuk memproses permohonan lanjutan dalam kalangan individu.

Manakala, bagi pemohon dalam kalangan PKS pula, pihak bank memerlukan tempoh tiga hari hingga dua minggu untuk melengkapkan proses permohonan dan kelulusan.

Kebanyakan bank-bank juga telah melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan pembayaran balik pembiayaan secara fleksibel mulai 7 Ogos lepas.

Setakat 21 Ogos lalu, pihak bank telah menghubungi seramai 1,015,848 peminjam yang terdiri daripada peminjam individu (908,773), PKS (94,685) dan syarikat-syarikat lain sebanyak 12,390 bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan berkenaan.

Bermula 7 Ogos lalu juga, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dengan 109,172 daripadanya telah diberi kelulusan.

"Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dengan sejumlah 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan bank.

"Peminjam juga tidak perlu risau kerana fleksibiliti yang diberikan sepanjang tempoh ini tidak akan dipaparkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam," tambahnya. - DagangNews.com