Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 1 Sept. - DRB-Hicom Berhad dijangka mencatatkan prestasi jualan yang lebih tinggi dalam segmen automotifnya pada separuh kedua 2020.
CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya berkata, jangkaan tersebut didorong oleh pelancaran model kenderaan baharu, pengecualian cukai hingga akhir Disember 2020 serta kadar faedah yang lebih rendah.
"Kami ramalkan pemulihan penjualan yang tinggi pada separuh kedua 2020 terutamanya untuk segmen automotif.
"Jumlah jualan Proton meningkat semula pada bulan Jun dan berjaya mencatatkan jualan sebanyak 13.216 unit pada Julai yang merupakan penjualan bulanan tertinggi sejak Jun 2012," jelas CGS-CIMB Research.
Pelancaran model Honda City dan Proton X50 akan datang dijangka turut mendapat permintaan pasaran selain menyumbang kepada pertumbuhan jualan pada suku keempat 2020.
Tambah CGS-CIMB Research, pihaknya turut mengekalkan saranan 'tambah' sasaran harga sesaham (TP) yang lebih tinggi daripada RM2.20 kepada RM2.35.
Pada suku kedua 2020, DRB-Hicom mencatatkan penurunan jumlah pendapatan sebanyak 26.7% kepada RM2 bilion disebabkan oleh kekurangan sumbangan daripada segmen automotif (-24%) dan hartanah (-11%).
Namun, keadaan tersebut diimbangi oleh pendapatan yang lebih baik daripada segmen perkhidmatan yang meningkat 6% didorong oleh pemulihan aset logistik.
DRB-Hicom menerusi anak syarikatnya iaitu Pos Malaysia berjaya mengurangkan jumlah kerugian bersih syarikat berkenaan kepada RM7.6 juta pada suku kedua 2020 berbanding RM27.9 juta pada suku pertama 2020.
Tambah CGS-CIMB Research, Pos Malaysia mengharungi perubahan positif itu susulan peningkatan terhadap jumlah pembungkusan yang tinggi daripada perniagaan dalam talian menerusi segmen kuriernya.
Prestasi itu juga diharap akan berterusan bagi membantu pertumbuhan pendapatan pada separuh kedua 2020. - DagangNews.com