KUALA LUMPUR 22 Julai - Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan Ancom Nylex bagi FY25 dipacu segmen bahan kimia pertanian terutama pengawet kayu dan pengenalan bahan aktif baharu.
Katanya, walaupun tidak tidak berjaya mencapai sasaran keputusan kewangan FY24 disebabkan peruntukan cukai yang tinggi, pendapatan teras kumpulan itu bagaimanapun meningkat sebanyak 8% didorong campuran jualan lebih baik.
Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras kumpulan itu bagi FY24 mencecah RM79 juta, memenuhi jangkaan pasaram tetapi kurang berbanding unjuran Kenanga Research sebanyak 6% berikutan peningkatan peruntukan cukai pada suku keempat.
"Kumpulan itu dilihat memiliki kelebihan strategik termasuk kedudukan pasaran menggalakkan di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China serta peningkatan permintaan alternatif untuk bahan kimia yang sangat toksik seperti Paraquat," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, terdapat beberapa pemacu pertumbuhan untuk kumpulan itu termasuk jangkaan peningkatan jualan produk monosodium methanearsonate (MSMA) di Amerika Latin dan kontrak tiga tahun pengawet kayu bersama pelanggan AS.
Katanya, selain itu, bahan aktif baharu seperti Bromacil dan Ester dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan, walaupun pengeluaran penuh untuk bahan aktif "T" telah ditangguhkan.
Walaupun margin yang lebih ketat dalam sektor industri-kimia, langkah-langkah penjimatan kos seperti memindahkan tempat simpanan tangki dijangka meningkatkan keuntungan FY25 dan seterusnya.
"Prospek kumpulan itu kekal positif dengan mereka dijangka mendapat manfaat daripada penambahbaikan berterusan dalam sektor teras dab kedudukan pasaran strategiknya," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Ancom Nylex dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham bagi mencerminkan prospek jangka panjang yang positif.- DagangNews.com