KUALA LUMPUR 25 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek Media Prima Bhd. pada separuh kedua 2022 memandangkan prestasi suku keduanya masih berada di bawah jangkaan firma meskipun negara sudah beralih ke fasa endemik.
Bagaimanapun, menurutnya, perbelanjaan pengiklanan syarikat media gergasi itu akan mendapat rangsangan daripada penganjuran Piala Dunia FIFA mulai 21 November hingga 18 Disember ini.
Malah, firma itu mendapati, pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang diadakan lebih awal juga akan membantu meningkatkan lagi adex kumpulan.
"Kebiasaannya, laporan kewangan kumpulan pada suku keempat adalah lebih kukuh kerana pengiklan berbelanja lebih sempena musim cuti.
"Selain itu, kami juga yakin dengan trend pertumbuhan positif yang dilihat dalam jualan kandungannya kerana lebih banyak platform Over-The-Top (OTT) dan penyiar asing menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak kandungan tempatan bagi menembusi pasaran tempatan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Media Prima mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.8 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, meningkat 24% berbanding RM16.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan dikaji meningkat 23% kepada RM15.6 juta daripada RM12.7 juta pada suku perbandingan.
Hasil pengiklanan dan jualan kandungan Media Prima terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan keseluruhan, dengan peningkatan bagi semua perniagaan kumpulan.
Menurut HLIB, keputusan kewangan Media Prima berada di bawah jangkaannya dan konsensus, masing-masing merangkumi 30.2% dan 24.3% daripada anggaran tahun penuh.
Ia berdasarkan kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras pada suku kedua berjumlah RM10.8 juta menjadikan PATAMI separuh pertama kepada RM15.3 juta.
"Keputusan kewangan yang tersasar ini disebabkan terutamanya penurunan daripada segmen membeli-belah di rumah dan juga penerbitan akhbar," jelasnya.
Susulan itu, firma tersebut menyemak turun unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 23%, 20.5% dan 21.7%.
Sejajar dengan semakan itu, HLIB menurunkan harga sasaran Media Prima kepada 54 sen daripada 67 sen sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.
"Walaupun segmen membeli-belah di rumah dan penerbitan terus mengheret prestasi kumpulan, tetapi kami percaya penyelesaian penjualan iklan bersepadu melalui Media Prima Omnia serta pertumbuhan jualan kandungannya akan mengekalkan pendapatannya pada suku berikutnya," katanya.
Setakat 9.13 pagi ini, harga saham Media Prima susut 0.5 sen atau 1.03% kepada 48 sen dengan 190,800 saham diniagakan. - DagangNews.com