Segmen gudang, pengangkutan darat dijangka pacu pertumbuhan Swift Haulage - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Segmen gudang, pengangkutan darat dijangka pacu pertumbuhan Swift Haulage - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan hasil Swift Haulage Berhad akan disokong sumbangan daripada segmen gudang baharunya selain peningkatan perjalanan pengangkutan darat.

 

Firma itu berkata, keadaan itu akan dibantu oleh penambahan 50 penggerak utama (prime movers) pada FY22 dan kadar pengangkutan yang lebih tinggi.

 

"Marigin keuntungan dijangka meningkat pada suku tahun akan datang dengan pihak pengurusan sebelum ini berhasrat untuk menjual dua lot tanah yang tidak digunakan pada 2QFY23.

 

"Hasil bersih daripada pejualan tanah itu akan digunakan bagi mengurangkan pinjaman mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan penguncupan untung bersih sebanyak 29.22% bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) sebanyak RM10.13 juta berbanding RM14.31 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. 

 

Ia disebabkan oleh peningkatan kos kewangan dan kos perbelanjaan yang tinggi.

 

Hasil suku tahunan kumpulan itu meningkat 5.66% kepada RM169.4 juta daripada RM160.3 juta, dipacu oleh hasil tambahan daripada peningkatan kapasiti armada pengangkutan darat dan hasil yang lebih tinggi daripada segmen perniagaan pergudangannya.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan itu.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 90 sen sesaham.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran termasuk daya tampung pelabuhan yang lemah daripada jangkaan selain dan kadar pengambilan yang lebih rendah daripada jangkaan untuk peranti baharu dan gudang lanjutan," katanya. - DagangNews.com