Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Segmen hotel Sunway di bawah kendalian Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), Sunway REIT dijangka akan terus lemah dalam tempoh jangka masa pendek.
Hasil pertemuan maya MIDF Research bersama pihak Sunway REIT berkata, jangkaan itu dinilai kepada keadaan sempadan Malaysia yang masih ditutup.
"Bahagian hotel dijangka kekal lemah dalam jangka masa pendek kerana sempadan Malaysia masih ditutup.
"Selain itu, penutupan Sunway Resort Hotel untuk tujuan pembaikan diharap dapat meningkatkan pendapatan segmen hotel pada tahun kewangan 2021.
"Kami tetap berhati-hati melihat prospek segmen hotel kerana kami hanya menjangkakan pemulihan pendapatan setelah wabak itu berakhir," jelas MIDF Research dalam dalam nota kajiannya hari ini.
Pembaikan Sunway Resort Hotel yang bernilai kira-kira RM230 juta hingga RM260 juta itu dijangka selesai secara berperingkat pada tahun 2021.
Anggaran 200 bilik akan dibuka semula pada Mac 2021 dan lebih 200 bilik lagi akan dibuka semula pada Julai 2021.
Dalam perkembangan berbeza, prospek segmen runcit turut menyusut akibat pandemik COVID-19.
Ujar MIDF Research, prestasi pusat beli-belah yang pulih 70% hingga 80% dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kembali menurun ke tahap 50% hingga 60% setelah pelaksanaan semula PKPB di Lembah Klang.
"Selepas mesyuarat, kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan kami kepada Sunway REIT.
"Kami juga mengambil pendekatan untuk mengekalkan saranan 'neutral' saham Sunway REIT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.61," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com