Segmen kesihatan dijangka terus menjadi penyumbang utama pendapatan Supercomnet, kata Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Segmen kesihatan dijangka terus menjadi penyumbang utama pendapatan Supercomnet, kata Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Malacca Secuties mengunjurkan segmen kesihatan yang menyumbang 60% hasil Supercomnet Technologies Berhad pada 1QFY23 akan terus penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan itu. 

 

Firma itu berkata, ia akan disokong oleh pelbagai pelancaran progresif poduk baharu pada tahun ini.

 

"Sementara itu, sumbangan segmen automotif dijangka bertambah baik daripada membekalkan abah-abah wayar dan tangki bahan api untuk model Peugeot 5008, 3008 dan 2008 kepada Stellantis.

 

"Pembesaran kilang masih dijalankan dengan kumpulan itu memperuntukkan modal sebanyak RM250 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi pembinaan bangunan lima tingkat baharu untuk menempatkan pengeluaran produk perubatan baharu.

 

"Apabila siap, ini akan membawa tambahan kapasiti pengeluaran 12,000 meter persegi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 1QFY23 menyusut 5.2% kepada RM7 juta kesan daripada sumbangan yang lebih rendah dalam segmen kesihatan dengan permintaan untuk kabel video endoskopi yang digunakan semasa menjalan rawatan COVID-19 menurun dan hasil kumpulan tiu mendatar sebanyak RM37.4 juta.

 

Pada suku tersbeut, margin keuntungan bersih meningkat kepada 18.8% berbanding 16.3% pada 4QFY22 akibat kenaikan jualan produk margin tinggi yang mengimbangi kos operasi yang tinggi kesan daripada peningkatan gaji minimum serta tarif elektrik yang tinggi.

 

Firma itu berkata, cadangan untuk memindahkan penyenaraian keseluruhan kumpulan itu kepada Pasaran Utama Bursa Malaysia berada di landasan tepat.

 

Kumpulan itu sedang memuktamadkan dokumen permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk permohonan pemindahan.

 

"Kami menjangkakan ia akan sempurna menjelang akhir 2023," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga saranan (TP) RM1.74 sesaham. - DagangNews.com