Segmen kimia perindustrian lonjak untung bersih Ancom Nylex kepada RM20 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Segmen kimia perindustrian lonjak untung bersih Ancom Nylex kepada RM20 juta pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Okt - Ancom Nylex Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM20 juta pada suku pertama berakhir 31 Ogos 2022 daripada RM9 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM549.8 juta daripada RM404.7 juta disokong terutamanya menerusi segmen kimia perindustrian yang melonjak 32.7% kepada RM343.7 juta. 

 

Dalam tempoh sama, pendapatan segmen sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat dua pertiga daripada RM3.6 juta kepada RM6 juta.

 

Segmen bahan kimia pertanian pula terus mencatatkan pertumbuhan teguh dengan hasil pada suku itu mencecah RM162.3 juta, iaitu peningkatan 40.6% daripada tahun lalu. 

 

Sejajar dengan itu, EBIT segmen meningkat sebanyak 43.2% tahun ke tahun kepada RM23.2 juta bagi suku dalam tinjauan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Nylex, Lee Cheun Wei berkata, perniagaan teras segmen bahan kimia pertanian semakin berkembang manakala usaha penyatuan seluruh kumpulan mula meraih ganjaran seperti yang dilihat dalam keuntungan yang bertambah baik dengan ketara pada suku berkenaan.

 

Katanya, ia sebahagiannya disokong pemerolehan operasi kimia perindustrian yang kini kami kuasai sepenuhnya, dan pelupusan pelbagai perniagaan bukan teras yang dijalankan pada tahun lalu.

 

"Kumpulan dijangka melaksanakan pengembangan kapasiti membabitkan loji bahan kimia pertanian di Shah Alam menjelang akhir tahun ini.

 

"Langkah ini akan membantu meningkatkan pengeluaran racun herba berasaskan Monosodium Methanearsonate (MSMA) kami untuk memenuhi permintaan yang meningkat berikutan pengharaman pengganti,paraquat, di Thailand," katanya. - DagangNews.com