Swift Energy meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities dalam langkah menuju IPO di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Swift Energy meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities dalam langkah menuju IPO di Pasaran ACE

(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi, Swift Energy Technology Bhd, Chin Saw Yong;Ketua Pegawai Eksekutif Swift Energy Technology Bhd, Tan Bin Chee; Pengarah Urusan Kewangan Korporat M & A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan dan Timbalan Ketua Kewangan Korporat M & A Securities Sdn Bhd, Danny Wong.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov - Swift Energy Technology Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan M & A Securities Sdn Bhd bagi menerbitkan sejumlah 300.24 juta saham Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

M&A Securities adalah penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Penyedia sistem automasi dan kuasa industri itu berkata, hasil daripada IPO tersebut akan disalurkan bagi membesarkan kemudahan operasi untuk memenuhi keperluan projek dan pengeluaran yang semakin meningkat.

 

"Syarikat juga akan memanfaatkan hasil IPO dengan menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) khas untuk mempercepatkan inovasi dan memperluas rangkaian produk.

 

"Hasil IPO itu juga akan membolehkan kami mengukuhkan operasi di Indonesia dengan menubuhkan anak syarikat di Jakarta untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan tempatan dan menyokong pemasangan teknikal serta permit projek sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Katanya, IPO tersebut melibatkan sebanyak 250.2 juta saham biasa baharu serta menawarkan penjualan 50.04 juta saham biasa sedia ada. 

 

"50.04 juta saham akan diagihkan ntuk orang awam Malaysia melalui pengundian dan 50.04 juta saham diketepikan untuk pengarah serta kakitangan layak. 

 

"Sebanyak 125.1 juta saham untuk pelabur Bumiputera terpilih, diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 25.02 juta saham untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih," katanya. 

 

Di samping itu, M & A Securities akan menaja jamin 100.08 juta saham, iaitu saham yang ditawarkan kepada orang awam dan kakitangan Swift Energy yang layak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Swift Energy, Tan Bin Chee, menyifatkan perjanjian ini sebagai tonggak penting bagi syarikat. 

 

"Sebagai satu-satunya pengeluar dengan pensijilan IECEx untuk Ex solar PV di Malaysia, kami mempunyai kelebihan unik dalam menyokong industri minyak dan gas di Asia Tenggara. 

 

"Dengan pelan pengembangan yang kukuh, kami yakin IPO ini akan memberi nilai tinggi kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami," katanya. -DagangNews.com