KUALA LUMPUR 18 Nov - Penggunaan Kod QR bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor untuk keluar masuk Singapura akan diperluaskan kepada semua jenis pengangkutan mulai 2025.
Ia hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, di sini pada Isnin, yang memutuskan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan proses perolehan berkaitan pada tahun ini juga.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi memuktamadkan perolehan itu, KDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) selewat-lewatnya bulan depan.
"Sasaran untuk memperluaskan penggunaan Kod QR bagi semua jenis pengangkutan pada 2025 adalah susulan jangkaan peningkatan pengguna di Tambak Johor daripada 116 juta kepada 150 juta setahun.
"Tahun depan juga, Malaysia akan jadi Pengerusi ASEAN, diikuti Tahun Melawat Malaysia pada 2026. Laluan Johor-Singapura dijangka menerima 150 juta orang berbanding 116 juta pada 2023," katanya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selain dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Buat masa ini, Kod QR hanya digunakan penumpang bas dan penunggang motosikal yang melalui Tambak Johor untuk ke Singapura, mewakili 80 peratus pengguna harian tambak berkenaan.
Peluasannya kepada semua jenis pengangkutan lain akan dibuat secara berfasa.
Berdasarkan kajian sepanjang tempoh Proof of Concept (POC) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang dilaksanakan sejak Jun lalu, Saifuddin berkata, pengunaan Kod QR dapat menjimatkan masa.
"Ia dapat menjimatkan masa antara tiga hingga lima saat bagi setiap individu penumpang bas dan penunggang motosikal pada waktu puncak," katanya.
Katanya, analisis menunjukkan sebelum penggunaan Kod QR, kira-kira 120 minit diperlukan untuk urusan masuk ke Singapura berbanding hanya 15 hingga 20 minit tempoh menunggu pada waktu puncak selepas penggunaan kaedah itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, sebanyak 22 daripada 52 inisiatif yang mewakili 42 peratus usaha untuk menangani kesesakan di Tambak Johor telah pun siap dilaksanakan setakat ini.
"Pada masa sama, 10 inisiatif sedang dilaksanakan, manakala bakinya masih belum dijalankan lagi. Semua inisiatif ini, kayu ukurnya adalah mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, antara laluan sempadan paling sibuk di dunia," katanya. - DagangNews.com