Segmen MLM Beshom diunjur lemah akibat kenaikan SST, kejatuhan nilai ringgit | DagangNews Skip to main content

Segmen MLM Beshom diunjur lemah akibat kenaikan SST, kejatuhan nilai ringgit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - TA Securities mengunjurkan segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM) Beshom Holdings Bhd lemah akibat kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8% dan kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia.

 

Katanya, selain itu, segmen berkenaan juga terkesan akibat kuasa membeli yang lemah.

 

"Bagaimanapun, inisiatif pemasaran yang dipertingkatkan mungkin membantu meningkatkan prestasi dan kadar pengekalan ahlinya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan bagi sembilan bulan FY24 (9MFY24) menyusut kepada 43.1% kepada RM10.7 juta manakala hasil juga turun sebanyak 14.8% kepada RM115.2 juta. 

 

EBIT MLM bagi 9MFY24 menyusut 80.1% dari tahun ke tahun kepada RM1.1 juta selaras dengan penurunan hasil sebanyak 29.4% kepada RM39.1 juta.

 

Keputusan yang lebih lemah itu disebabkan oleh sentimen pasaran yang lemah dalam ekonomi domestik, yang mengakibatkan perbelanjaan berhati-hati, terutamanya bagi barangan bukan keperluan.

 

Keadaan itu diburukkan lagi dengan persaingan sengit daripada pemain industri pasaran MLM yang lain.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi segmen borong, kumpulan itu merancang mempromosikan produk utamanya dengan menawarkan perjalanan ke luar negara sebagai insentif kepada pelanggannya selain percaya bahawa peningkatan kehadiran pelancong akan meningkatkan jualan barangannya ke kedai bebas cukai.

 

Katanya, mereka menjangkakan bahagian runcit akan mencatatkan peningkatan hasil pada 4QFY24 menerusi pelancaran kempen jualan kesetiaan ahli pada akhir tahun yang khusus kepada ahlinya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 80 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com