Segmen pelaburan hartanah WCT Holdings dijangka positif pada suku akan datang - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Segmen pelaburan hartanah WCT Holdings dijangka positif pada suku akan datang - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - MIDF Research menjangkakan segmen pelaburan hartanah WCT Holdings Berhad bertambah baik pada suku akan datang dengan aktiviti pengguna mula mencatatkan peningkatan.

 

Firma itu berkata, keadaan itu akan memberi manfaat kepada lima pusat beli-belah runcit, hotel dan perniagaan perkhidmatan penerbangan yang diuruskan WCT.

 

Mereka juga menjangkakan, segmen kejuruteraan, pembinaan dan pembangunan hartanah akan bertambah baik pada suku akan datang.

 

"Kami positif dengan prospek pendapatan WCT yang disokong oleh tahap operasi yang tinggi dengan Malaysia sedang dalam proses perubahan ke fasa endemik.

 

"Kami berpendapatan, kumpulan itu merupakan pencabar utama dan penerima manfaat utama bagi projek infra awam mega, berdasarkan rekod prestasi kumpulan yang kukuh dan pengalaman luas dalam pembuatan landasan kereta api, projek lebuh raya dan bangunan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menurun sebanyak 47% dari tahun ke tahun kepada RM30.56 juta daripada RM65.40 juta akibat kos kewangan yang lebih tinggi. 

 

Pada masa sama, pendapatan WCT meningkat kepada RM604.72 juta daripada RM444.29 juta pada tahun sebelum ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk WCT Holdings dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM0.86 berbanding RM0.80. - DagangNews.com